Pengikut

Khamis, 1 Ogos 2024

"Hidden" Hantaran

 

Assalamualaikum, rakan-rakan. Hari ini saya akan berkongsi tentang "hidden" hantaran. Masih ada yang tidak tahu, apa maksud "hidden" hantaran? 


Ia membawa maksud hantaran yang diletakkan di atas dulang semasa majlis pertunangan/akad nikah/resepsi tetapi dalam bentuk tersembunyi sama ada dibalut dengan kertas bercorak atau kain. Kebanyakan pasangan yang menggunakan konsep hantaran tersembunyi ini gemar menggunakan kain satin sebagai pembalut kotak termasuklah saya. Memang cantik ya kawan².


Cubaan awal (tak kemas)
 
Antara cubaan awal juga


Kenapa memilih "hidden" hantaran?


✴️ Kena buat banyak dulang (12 dulang)

- Saya menawarkan diri untuk menyediakan sendiri dulang hantaran & barang-barangnya untuk kedua-dua belah pihak (saya dan bakal suami). 7 dulang dari belah perempuan, 5 dulang dari belah lelaki atas sebab suami saya dari negeri lain (jauh) dan selera barang kami berbeza. 

- Kalau belikan barang yang tak dipakai oleh bakal suami, rugi pula. Kalau masing² beli, bila masa nak mula gubah hantaran memandangkan kami bukan dari negeri yang sama kan? Jadi, untuk memudahkan semua pihak, saya buat sendiri.

- Disebabkan saya perlu sediakan lebih daripada 10 dulang & barang hantaran, memilih hantaran tersembunyi jauh lebih mudah untuk saya.


✴️ Jimat kos.

- Kenapa jimat kos? Sebab saya tak perlu berfikir panjang nak belikan barang-barang yang cantik untuk diletakkan di atas dulang. Makcik-makcik bawang pun tak boleh nak banyak komen sebab tak tahu apa yang kita letak dalam kotak hantaran tu 😂

- Ada beberapa kotak hantaran, saya letak baju sepasang sedia ada. Selain itu, saya letak barang-barang dapur yang saya fikir boleh digunakan nanti seperti serbuk-serbuk masakan (kari,masak kurma dll), garam, gula, rempah-ratus bahkan air kotak pun ada haha. Sangat menjimatkan ya. Nanti dah buka kotak hantaran, semua barang yang dibeli tu sudah tentu akan digunakan. 

- Untuk pengetahuan semua, perbelanjaan untuk 12 dulang hantaran berserta barang-barangnya alhamdulillah tidak lebih daripada RM 300. Insya-Allah dalam hantaran akan datang, saya akan kongsikan perincian perbelanjaan saya untuk hantaran tersembunyi itu bersama dengan pautan kedai bagi setiap pembelian barang-barang berkaitan memandangkan banyak pembelian saya dibuat secara atas talian (online).


✴️ Jimat masa & tenaga.

- Bagi saya, membalut kotak barang hantaran tersembunyi ini jauh lebih mudah berbanding menggubah barang hantaran nak bagi nampak cantik. Lagipun, saya ni kurang kreatif dalam bab menggubah. Oleh itu, saya tidak pernah menyesal memilih hantaran tersembunyi. Tak penat sangat, masa buat pun tak lama. Satu hari je boleh siap kalau hari cuti. Saya buat berdua dengan adik perempuan saya (Kak Cik). Terima kasih adikku banyak membantu.


✴️ Nampak kemas & selaras.

- Apabila kita buat "hidden" hantaran ini, dengan mudah kita boleh selaraskan warna balutan kotak dan saiznya. Ketinggian sama, warna sama, lebar sama. Semua sama. Lebih nampak selaras dan kemas. Ada sesetengah orang lebih suka kepelbagaian macam hantaran yang ada gubahan sejadah dan sebagainya kan, tetapi saya berbeza. 



Hasil akhir


Saya cuma tunjukkan empat kotak hantaran saja lah. Ada gambar kesemua kotak hantaran tetapi tak terlalu rajin nak selongkar "gallery" telefon haha. Yang warna champagne tu dari belah bakal suami, yang warna maroon tu dari belah saya.

Kira okay lah kan hasilnya 🤭 Jenis tangan tak kreatif sangat.  Nak kata terlalu kemas tu tidaklah juga tetapi saya cukup berpuas hati dengan hasil tangan sendiri. Ada kekurangan-kekurangan tu harap maklumlah ya. Apapun, apabila boleh buat sendiri, automatik tidak perlu sewa dulang hantaran atau upah orang untuk buatkan. Alhamdulillah. 


Sekian sahaja hantaran untuk kali ini 👋 Assalamualaikum

Isnin, 29 Julai 2024

Apresiasi Untuk Sahabat

 

Assalamualaikum. ☺️ Beberapa hari lalu, saya menyambut ulangtahun kelahiran. Sedar tidak sedar, usia saya sudah hampir penghujung 20-an tapi bukan itu fokus hantaran saya kali ini. 



Hantaran saya kali ini adalah untuk mengapresiasi seorang sahabat yang hingga kini ada bersama saya walaupun kami dipisahkan jarak. Dia tidak pernah lupa untuk mengucapkan "sanah helwah" kepada saya setiap tahun. Selain keluarga, hanya dia seorang yang ingat ulangtahun kelahiran saya. 


Saya perkenalkan, sahabat saya ini bernama Ain. Sejujurnya, saya bukan seorang yang mudah mengingat ulangtahun kelahiran orang lain, bahkan beberapa kali juga terlupa ulangtahun sendiri. Tetapi, bila saya diingatkan, sudah semestinya saya akan meraikan semampu saya.


Berbeza dengan Ain yang selalu ingat tarikh lahir saya. Semasa saya masih bujang, jika sahabat saya ini pulang ke kampung halaman, dia akan selalu mengajak saya keluar untuk saling bercerita & makan-makan sama ada sempena "birthday" atau "saja²" dan dia yang belanja ya. Nak diberi duit minyak pun dia tak terima. Mentang² profesion mantap ek 😂 Maaf Ain... Gurau je. Apa yang mampu saya buat hanyalah menyediakan hadiah tak seberapa untuk Ain sebelum keluar dengan dia sebab nak belanja, dia taknak. Dia yang selalu murah hati nak belanja bahkan dia datang jemput saya di rumah. Tak terbalas semua kebaikan Ain ni. 


Setiap tahun bila dia "wish birthday" saya, air mata saya akan bergenang. Bagaimana tidak? Dia tidak pernah lupa meskipun saya selalu lupa beri ucapan untuk dia. Harapnya apabila saya ada peluang untuk hidup mewah, saya berdoa agar berpeluang memberikan hadiah yang lebih bermakna untuk Ain. Dia layak dapat yang terbaik dalam hidup dia.


Sekadar berkongsi, Ain ialah sahabat saya dari sekolah menengah yang sama. Sepanjang lima tahun menuntut ilmu di sekolah yang sama, kami tidak pernah sekelas. Semasa tingkatan 1-3, saya berada di kelas khas (KKQ) yang mana tiada dalam "ranking" kelas. Ketika tingkatan 4, saya di kelas ketiga dan di tingkatan 5, saya di kelas kedua manakala Ain sentiasa di kelas pertama ya kawan². Memang genius budak tu haha tetapi dia memang rajin ya. Keputusan SPM nya pun sudah tentu 11A, alhamdulillah, mungkin 11A+. Saya lupa senarai pelajar yang dapat 11A+ di zaman saya. Yang pasti, saya tak dapat haha. 8A je lah mampu eh.


Berbalik kepada cerita tadi, kami tidak sekelas tetapi macam mana kami boleh rapat? Kami mula betul² rapat ketika di tingkatan lima kerana Ain ialah salah seorang Raisah Lajnah badan dakwah di sekolah kami ketika saya memimpin badan dakwah. Selain itu, kami juga bersama dalam kepimpinan asrama. Ketika saya memimpin Exco Kerohanian, Ain menyandang Ketua Exco Disiplin. Memang tegas orangnya. Saya pun segan pada dia, takut pun ada juga dulu 😂 Kita sesama exco pun takut tau. 


Ain ni, biarpun dia lebih bijak, dia tidak pernah mendahului saya ketika berada di bawah kepimpinan saya dalam badan dakwah. Dia pandai meletakkan diri di mana saja dia berada. Ain ini diibaratkan benih yang subur. Kalau dicampak ke darat, menjadi gunung. Jika dibuang ke laut, menjadi pulau. Dia juga seorang yang boleh memimpin dan dipimpin. Sangat bertanggungjawab orangnya.


Hantaran ini bukan untuk mempromosi atau mencarikan jodoh untuk Ain, tetapi sebagai apresiasi semata-mata tau walaupun Ain ni masih solo 🤭 Ain, walaupun sudah didesak oleh keluarga untuk mencari jodoh, dia tidak pernah tergesa-gesa mencari bahkan dia tidak pernah membina sebarang hubungan dengan bukan mahram. Dengan kata mudah yang boleh difahami anak-anak zaman sekarang, tidak pernah "couple". Orangnya sangat tegas menjaga diri. 


Itulah sedikit sebanyak kisah tentang akhlak sahabat yang saya selalu kagumi.


Ain... Kalau awak ada kesempatan dan masa untuk membaca hantaran saya kali ini, saya nak ucapkan seinfiniti penghargaan kerana masih ada di sisi saya hingga kini. Terima kasih sebab tak pernah lupakan saya walaupun kita tidak selalu saling menghubungi antara satu sama lain. 


Ain... Segala pujian saya untuk awak di atas sana, tidak sekali-kali saya ungkapkan untuk menjadi racun yang boleh melekakan hati awak tetapi itu adalah rasa syukur saya mempunyai sahabat sebaik awak. Semoga hati² kita sentiasa dalam jagaan Allah.


Ain... Saya selalu doakan awak dulu, kini dan insya-Allah selamanya. Semoga suatu hari nanti, awak dikurniakan jodoh & zuriat² soleh di waktu yang tepat. Semoga berbahagia selalu, Ain sayang. Terima kasih sekali lagi untuk segalanya.


♥️♥️♥️

Selasa, 18 Jun 2024

Sanah Helwah Abuya

Assalamualaikum, sahabat semua. Hari ini saya cuma ingin berkongsi rasa dan cerita indah.

Seperti tajuk yang tertera, hari ini ialah hari bahagia ulangtahun kelahiran ayah saya yang saya panggil "abuya".

Abuya ialah seorang ayah dan suami yang bertanggungjawab. Mencari nafkah untuk kami siang dan malam tanpa mengadu penat & lelah. Beliau mendidik kami tanpa paksaan. Beliau tidak pernah mengungkit membesarkan dan membayar untuk pendidikan kami adik-beradik. Bahkan, saya menamatkan ijazah sarjana muda pun dengan duit abuya & hasil kerja 'part time' yang tidak seberapa. Abuya taknak saya berhutang, jadi dia tidak berkenan saya membuat pinjaman PTPTN. Alhasilnya, saya tamatkan pelajaran tanpa perlu meminjam daripada mana² institusi, alhamdulillah.

Setiap kali mengenangkan itu, air mata saya mengalir. Besarnya jasa abuya dalam kehidupan kami. Dari kami kecil, hingga kami dewasa, abuya tidak pernah memberi tekanan & paksaan untuk kami dalam apa² pun yang kami buat. Abuya & ummi hanya akan memberi nasihat dan sokongan. Meskipun adakalanya kami tak sependapat, abuya & ummi tidak akan memberi paksaan sehingga kami tertekan dalam hal pembelajaran, perkahwinan dan kehidupan. Alhamdulillah. 

Perkongsian saya ini tidak menandakan kehidupan kami sempurna. Banyak ujian besar yang kami hadap dalam keluarga kami. Biarlah yang tahu saja tahu. Hantaran kali ini hanya sebuah perkongsian dari rasa syukur seorang anak.

Pagi tadi, panjang ucapan dan doa saya ucapkan sempena hari lahir abuya. Lalu, inilah jawapan daripada seorang ayah yang kami sayangi itu :



Perkara yang paling mengharukan selain daripada doa daripada seorang ayah adalah ucapan "terima kasih kerana menjadi anak yang baik". Saya menangis tergugu membacanya. 

Saya sedar, saya bukanlah anak yang begitu baik. Saya belum layak digelar anak solehah tapi insya-Allah saya akan selalu berusaha menjadi anak & isteri yang solehah. Saya teringin untuk menjadi anak solehah yang doanya untuk ibu bapanya makbul dan dibawa jua ke alam barzakh. 

Amin.

Selasa, 27 Februari 2024

Kuetiau Goreng Untuk Mentua

Assalamualaikum semuanya. Kembali lagi kita dalam rancangan "Masakan mudah apa hari ini?" Hahaha. Seperti yang ditulis pada tajuk : Kuetiau goreng. 

Percaya atau tidak, walaupun selalu dieja dengan "kuey teow" , tetapi ejaan betul dalam Bahasa Melayu adalah kuetiau. Eleh, tak percaya la tu. Tengoklah hasil tangkap layar saya di laman web Kamus Dewan Bahasa di bawah :


Tak tahulah kalau nanti beberapa dekad lagi, ejaannya akan berubah kan sebab Bahasa Melayu lama pun ejaannya banyak yang berbeza berbanding ejaan perkataan Melayu kini. 

Dah jadi hantaran berkaitan Bahasa Melayu pula ke ni? 😂 Tak adalah. Selingan saja. Jadi, semalam suami cadangkan goreng kuetiau untuk sarapan saya dan bekalnya. Alang², nak lah hantar juga untuk mentua. Kami pun selalu dapat makanan dari mentua. Okay kita tengok cara saya goreng kuetiau :

Bahan-bahannya :


Kuetiau 500 gram

Minyak masak 5 sudu besar

Minyak bijan 1 sudu besar

Kicap manis 3 sudu besar

Bawang putih 6 ulas

Bawang merah 3 ulas

Cili kering yang diblend 1 sudu setengah

Isi ayam/udang/kerang 

Telur 2 biji

Sos tiram 3 sudu

Sos cili 3 sudu

Kicap sotong 1 sudu kecil

Daun/sayur pilihan 


Cara menyediakan :


Perhatian : Tips supaya kuetiau yang digoreng tak mudah hancur dan tak terlalu lembik, kena gaul dulu di luar kuali.

Oh, dan sebelum masuk kepada resepi, masakan saya kali ini cukup untuk 5 orang makan. Kuetiau halus yang saya guna ni sebenarnya 950 gram. Kalau guna semua satu pack, risau tak habis. Jadi saya agak-agak, guna lebih daripada setengah pack. Anggaran dalam 500 gram untuk 5 orang makan. Selalunya orang masak kuetiau pack kecik 450 gram tu untuk 4 orang makan. Berikut gambar pack kuetiau yang saya guna :


1. Bilas kuetiau dengan air, jangan beria sangat ramas, nanti hancur tak sempat masuk kuali. Belai je lembut-lembut masa bilas tu.

2. Sejatkan air pada kuetiau, letak kuetiau dalam bekas yang sesuai. Letak minyak bijan & kicap manis hitam dalam bekas berisi kuetiau tadi dan gaulkan dengan berhati-hati supaya minyak bijan dan kicap tadi sekata & rata pada kuetiau.

3. Kisar bawang merah & bawang putih. Saya suka guna blender kering. Nak blend basah pun boleh, nak mayangkan aje bawang tu pun boleh. Kemudian, letak minyak dalam kuali dan masukkan bawang-bawang yang telah dikisar tadi. Tumislah bawang tu dengan api perlahan sehingga nampak garing (bukan hangit ya).

4. Seterusnya, bubuh cili kering yang telah dikisar. Saya guna blender basah. Cili kering, saya guna yang 'kurus²', baru lah pedas. Kalau tak nak pedas, pakailah cili kering yang gemuk dan besar saiznya. Tumislah cili kering tu pula sampai nampak garing juga.

* Cara sediakan cili kering kisar : Ambil cili kering dalam jumlah yang banyak terus. Dalam 30-40 biji ke, kemudian gunting buang kepala cili tu, dan gunting la cili tu kepada 2 atau 3 bahagian supaya senang diblend nanti. Lepas gunting, bilas dengan air, rebus dalam periuk sampai menggelegak. Kalau saya, saya sejatkan dulu cili yang direbus tadi kemudian masukkan dalam blender basah, letak je air masak/air coway, kemudian, kisarlah sampai lumat. Letak dalam bekas, simpan dalam peti. Ada orang guna minyak untuk kisar cili ni, tapi saya tak suka. Air je cukup. Bila dah kisar banyak² & simpan, nanti nak guna, senang.

5. Kemudian, letak air sikit supaya tak mudah hangit. Bubuhlah isi ayam. Saya guna ayam cincang je yang selalu guna untuk spaghetti tu. Alang² tinggal sikit lagi, habiskan je lah. Ha kacau-kacau. Lepastu masukkanlah telur dua biji, tunggu kejap dan kacau telur tu. Barulah dia tak terlalu hancur tapi janganlah letak telur, lepastu tinggal sampai jadi telur mata. Kacaulah bagi dia jadi macam scramble egg gitu. Kalau letak isi udang, lebih sedap dan manis tapi kami tak ada udang. Kalau ada fishcake, letaklah fishcake sekali. Memang sedap. Saya masak letak aje apa yang ada dalam peti tu.

6. Lepas tu, bubuhlah sos tiram dan sos cili. Kicap, saya dah tak letak sebab tadi dah gaul kicap manis pada kuetiau. Kacau-kacau sampai rata dan air agak kering.

7. Bolehlah letakkan kuetiau yang telah dibasuh dan digaul tadi ke dalam kuali. Gaullah sehingga sebati dengan semua bahan tumisan dan lauk tadi.

8. Bubuhlah daun/sayur pilihan. Saya cuma ada kangkung je yang sesuai untuk diletak. Kangkung saya ambil daunnya saja.

Selalunya, orang akan letak daun bawang dan tauge juga. Tapi saya tak ada daun bawang & tauge. Tauge tu suami saya memang tak gemar 😂 Jadi kami tak beli.

9. Kacau-kacau sampai rata, kemudian rasalah dulu sebelum tutup api. Kalau dah tiada yang perlu dibaiki, dah siap..! Boleh tutup api dan hidangkan.

Perasan tak, dalam masakan saya kali ini, saya tidak menggunakan gula, garam bahkan serbuk perasa? Tak perlu sebab sos tiram, sos cili & kicap manis dah berikan rasa yang cukup. Kalau masih rasa kurang di lidah kalian, tambah sajalah gula/garam/perasa tu ya. Citarasa masing². 

Inilah dia rupa kuetiau yang tak seberapa tu :


Abaikan nugget tu 🤭 Bekas besar tu untuk dihantar kepada mentua. Yang bekas kecil sedikit tu dan nugget untuk bekal suami. Ya, se"simple" itu saja. 




Isnin, 26 Februari 2024

Tomyam & Ayam Celup Tepung

Assalamualaikum sahabat-sahabat sekalian. Hari ini saya nak berkongsi menu bekal ringkas yang saya masak untuk suami. Guna bekas sedia ada aje.


Maaflah gambarnya macam apa dah tu. Kito nyo tak pandai ambil gambar 😂 Pulaktu, tak ada gambar dekat tomyam dengan ayam tu. 

Untuk ayam goreng celup tepung tu, memang serius rasanya macam ayam Mcd. Ramai juga yang sependapat dengan saya walaupun suami saya sendiri lebih suka Tepung Bestari. Okay mari saya kongsikan tepung apa saya guna. Sahabat-sahabat semua boleh beli tepung Bon Chef ni tau. Sebelum ini saya ada cari-cari juga di supermarket dan di mini market yang biasa saya pergi, tak jumpa juga tapi semasa sedang khusyuk scroll aplikasi Tiktok, ternampak orang kongsi video, katanya beli tepung ni di kedai Eco. Ya, hanya dengan harga RM2.40 untuk 200 gram tepung tu. Sebelumni ada juga saya cari di Shopee dan TikTok tapi tak berbaloi sebab kos penghantaran dan harga pun lebih mahal sedikit berbanding beli di Eco. 

Lepastu apa lagi, tengok-tengokla di Eco, ma sha Allah memang rezeki sungguh, ada di Eco. Mula-mula tak berharap sebab fikir mesti dah habis sebab viral rupanya rezeki banyak pack lagi ada masatu. Mungkin la baru restock. Fuh, syukur. Ni dah nak habis stock sebab beli dua pack je haritu. Nanti pergi Eco lagi, haraplah masih ada tepungnya. Ni rupa tepungnya :

Kredit : Shopee Malaysia


Kemudian, kita pergi kepada tomyam. Tomyam ni memang sangat mudah dibuat tapi semestinya saya guna pes tomyam haha. Tak kuasa nak buat sendiri pes tomyamnya. Ini saya kongsikan :


Resepi tomyam untuk dua orang makan (cara saya)


Bahan-bahannya :


Air 1½ cawan

Bawang putih 5 ulas

Bawang holland ½ biji

Lengkuas ukuran ½ ibu jari

Cili padi 4 biji

Serai yang dititik 1 batang

Daun limau purut 4 helai

Pes tomyam 1 setengah sudu besar

Garam 2 sudu kecil

Gula 2 sudu kecil

Susu fullcream/susu cair ½ cawan

Sayur tambahan (pilihan) secukupnya

Tomato 1 biji

Perahan asam limau nipis ½ biji


Cara menyediakan :


1. Isi air dalam periuk, buka api. Bahan yang saya senaraikan tu saya masak untuk dua orang. Tu pun agak2 je semua bahannya tu tau.

2. Tanpa perlu tunggu air mendidih, boleh terus masukkan bawang putih dan lengkuas yang dilenyek dengan pisau besar/alu lesung. Nak potong nipis-nipis pun boleh je. Bawang besar pula tak payahlah beria sampai nak cincang. Potong je lah saiz sederhana macam bentuk segitiga. Korang faham ke eh macam mana? Takpelah kalau tak faham, potong 'freestyle' je haha. Bawang tu agak banyak sebenarnya sebab kami suka bawang dalam kuah.

Lepastu masukkan cili padi yang dah dipotong menyerong, serai yang dititik. Dititik tu sama je lah dengan dihenyak dengan pisau besar/alu lesung tadi tu. Janganla sampai hancur nyah. Pukul sikit je pun bagi batang serai tu retak. Ha lepastu letaklah dalam periuk tadi tu. Seterusnya, letakkan juga daun limau purut. Daun limau purut tu petuanya koyakkan, jangan masukkan daun tu sekali dengan urat daun yang tengah tu sebab takut kuah rasa pahit nanti.

Dan untuk pengetahuan korang, semua bahan di atas tu masukkan sekaligus aje. Tak payahlah step by step disiplin sangat. Masuk je sekaligus, bawang-bawang, cili, lengkuas, serai & daun limau purut.

3. Tunggu mendidih sikit, bubuhla pes tomyam. Saya letak 1½ sudu besar ya. Kacau-kacau.

4. Kemudian, letakkan garam dan gula. Orang Thai tak silap diorang letak gula kabung (warna kuning dan lembut tu). Korang kalau nak letak gula melaka pun boleh. Tapi saya tak ada, jadi letak gula je lah.

Inilah dia rupa gula kabung Thailand. 

Kredit : Lazada

Kalau nak tambah serbuk perasa/ajinomoto pun okay je. Saya tak letak, sebab tak beli tambah lagi. Guna jarang-jarang je. Jimat haha. 

5. Seterusnya, boleh masukkan sayur yang kita nak, saya letak lobak merah je. Tu saja sayur sesuai yang tinggal dalam peti tadi. Boleh letak macam-macam sayur lain juga, contohnya : cendawan, bunga lobak dan anak jagung.

6. Kemudian, boleh tuang susu cair. Saya kehabisan susu cair, jadi saya letak je susu fullcream tu. Sedap aje jugak. Susu ni untuk bagi dia rasa lemak. Fuh, memang sedap. Rasa macam tomyam di kedai Thai. Bolehla buat ghaso-ghaso hihi. Agak² aje banyak mana. 

7. Selepas itu, saya letak juga tomato yang dipotong macam epal. Lepas tu, perah setengah limau nipis. Baru masam dia umphh! Saya ni bukan penggemar masam, tapi kalau tomyam tak ada masam, kurang sedap pula rasanya. Kacaulah sampai rasa kuah dah cukup cantik. Tak nampak cair sangat, warna kuah oren susu macam dalam gambar yang saya share.

Sebelum tutup api tu, jangan lah lupa rasa dulu, dah cukup ke masin, manis, masam dan pedasnya. Kalau belum cukup rasa atau terlebih rasa, 'adjust' la dulu. Jangan main letak je mentang-mentang orang dah 'share' berapa sudu, sebab citarasa kita tak sama, bahkan tu pun saya main agak je. Campak² , kemudian rasa, ikut lidah sendiri.

Dan.... Siap! 

Sabtu, 24 Februari 2024

Kembali Seketika

 

Assalamualaikum. Sekian lama meninggalkan blog ini, tetapi kerana rindu, saya kembali.




Alhamdulillah, hari ini hampir dua bulan sudah saya bergelar seorang isteri. Sebelum akad, saya sibuk mencari-cari resepi masakan untuk dijadikan panduan memasak selepas berkahwin. Ya lah, bila tiba masanya terasa tak ada idea menu seharian, bolehlah carian saya tu membantu. Berikut saya kongsikan :


ANEKA MENU NASI & NASI GORENG


*NASI*


1. Nasi ayam

2. Nasi lemak

3. Nasi khoumok

4. Nasi minyak

5. Nasi kukus

6. Nasi tomato

7. Nasi kuning

8. Nasi kerabu

9. Nasi briani

10. Nasi arab

11. Nasi ayam hainan



*NASI GORENG*


1. Nasi goreng kampung

2. Nasi goreng ayam

3. Nasi goreng cina

4. Nasi goreng USA

5. Nasi goreng pataya

6. Nasi goreng tomyam

7. Nasi goreng cili padi 

8. Nasi goreng kunyit

9. Nasi goreng biasa

10. Nasi goreng ayam kfc

11. Nasi goreng cili kering

12. Nasi goreng seafood


Dalam banyaknya senarai masakan di atas, yang pernah saya masak untuk suami, hanyalah nasi ayam, nasi lemak, nasi minyak, nasi goreng biasa, nasi goreng tomyam, nasi goreng cili padi, nasi goreng cili kering & nasi goreng pataya.

Menu yang paling tak terlintas untuk disediakan ialah nasi kerabu. Memanglah nasinya ringkas saja lebih² lagi kalau dah ada bunga telang tapi yang menyakitkan kepala adalah bahan² campurannya : sambal kelapa & ikan, sambal cili belum termasuk ulam²nya lagi tetapi saya bernasib baiklah sebab suami dan saya sendiri pun memang tidak terlalu gemar menu nasi kerabu. 

Saya sangat kagum pada ummi saya yang memang rajin menyediakan nasi kerabu. Rajin betul dia sediakan bahan. Saya memang malas lebih² lagi nak menggoreng kelapa, api perlu diperlahankan, kalau menunggu, lama. Kalau tidak ditunggu, hangit pula sebab lupa 😂 Ya lah, itu memang menu kegemaran ummi & nenek saya. Saya sendiri kalau ada lauk lain seperti ayam bakar/ikan celup tepung, baru betul² ngam makan nasi kerabu 🤭 Banyak songeh.




Jumaat, 25 Disember 2020

TIPS SELEPAS TEMUDUGA

 

Kredit : seek.com.au


Assalamualaikum semua. 💗 Kita jumpa lagi di sini untuk hantaran berkaitan temuduga. Kali ini, saya akan berkongsi tentang "Apa yang perlu dibuat selepas temuduga". Eh, lepas temuduga ada kena buat apa-apa lagi ke? 😮 Mestilah ada walaupun sikit ja.




1 ✒ Hantar emel ucapan terima kasih/emel susulan. 


Setelah beberapa hari berlalu sesi temuduga kita, hantarlah emel/surat rasmi ucapan terima kasih kepada penemuduga (jika ada maklumat mereka, 'business card' dan sebagainya.). Jika tidak, hanya hantar emel/surat kepada pihak yang memberi makluman untuk temuduga kita. 


Jika kita ingin menghantar emel/surat lebih seminggu daripada tarikh temuduga, kita boleh terus tanya tentang status/jawapan daripada temuduga tersebut. 


Berikut saya kongsikan contoh surat ucapan terima kasih selepas temuduga yang pernah saya hantar. Memandangkan saya mendapat makluman temuduga melalui mesej "WhatsApp", saya menghantar surat ini melalui aplikasi "WhatsApp" juga.👇




Lebih kemas jika kita sertakan alamat dan sebagainya supaya surat tersebut menepati format surat rasmi (saya tak berfikir panjang masa hantar mesej ini). Surat di atas ini hanya surat ucapan terima kasih yang saya hantar selepas beberapa hari temuduga berlalu. Kalau nak tanya tentang susulan keputusan temuduga, buang bahagian "Saya ingin merakamkan ucapan kemaafan..." sampai habis tu, tukar kepada ayat :


" Berkenaan sesi temuduga tempoh hari, saya ingin mendapatkan kepastian sama ada saya diterima ataupun tidak untuk jawatan tersebut. Jika keputusan masih dalam pertimbangan, saya sekali lagi ingin menyatakan hasrat untuk bekerja di syarikat tuan/puan sebagai ....... ". Akhiri dengan sekian, terima kasih seperti biasa.




2 ✒ Teruskan berdoa.


Seperti yang saya pernah cerita sebelum ini, saya suka amalkan doa yang selalu disebut sebagai doa makan tu sebab doa itu lebih kepada doa untuk keberkatan rezeki. In syaAllah, murah rezeki kita dapat jawatan/pekerjaan yang layak untuk kita. Banyakkan doa dan pergantungan pada Allah.




3 ✒ Buat surat rasmi mohon maaf.


Eh, kenapa pula nak minta maaf? Surat ini hanya perlu sekiranya kita terpaksa menolak tawaran bekerja setelah diterima untuk jawatan yang kita pernah mohon atas sebab-sebab tertentu. 


Walaupun kini kita menolak tawaran bekerja di syarikat itu, ada kemungkinan kita akan memohon semula kerja di syarikat yang sama pada masa hadapan. Jika kita menghantar surat ini, pihak syarikat akan melihat kita sebagai orang yang bertanggungjawab dan tiada masalah untuk menerima kita lagi pada masa akan datang.


Di bawah adalah contoh surat permohonan maaf yang pernah saya hantar :







Masa ni tak jangka pun puan penemuduga tu akan balas mesej saya, tak sangka sangat. Terharu 😭 Alhamdulillah. Puas hati sebab kita bertanggungjawab hingga ke akhirnya walaupun kita tidak bekerja di syarikat tersebut.




4 ✒ Teruskan usaha, jangan putus asa. 


Sekiranya kita tidak mendapat tawaran bekerja di syarikat-syarikat yang telah kita hadiri temuduga, jangan pernah berputus asa. Jika kita memang meminati posisi kerja itu, ada saja peluang, cuba mohon lagi dan lagi. 


Buat refleksi diri setiap kali hadiri temuduga, perhatikan mana yang perlu kita ubah dan baiki. Minta pandangan kawan-kawan dan keluarga. Mencari kerja yang kita inginkan tidak mudah.



___________________________________________ 💕



Saya doakan kita semua dimurahkan rezeki dan mencapai apa yang terbaik untuk diri masing-masing. Aamiin. Terima kasih sudi membaca. Semoga bermanfaat untuk sahabat-sahabat. 



💗 Baca juga hantaran berkaitan di sini : 




"Hidden" Hantaran

  Assalamualaikum, rakan-rakan. Hari ini saya akan berkongsi tentang "hidden" hantaran. Masih ada yang tidak tahu, apa maksud ...