Pengikut

Selasa, 27 Februari 2024

Kuetiau Goreng Untuk Mentua

Assalamualaikum semuanya. Kembali lagi kita dalam rancangan "Masakan mudah apa hari ini?" Hahaha. Seperti yang ditulis pada tajuk : Kuetiau goreng. 

Percaya atau tidak, walaupun selalu dieja dengan "kuey teow" , tetapi ejaan betul dalam Bahasa Melayu adalah kuetiau. Eleh, tak percaya la tu. Tengoklah hasil tangkap layar saya di laman web Kamus Dewan Bahasa di bawah :


Tak tahulah kalau nanti beberapa dekad lagi, ejaannya akan berubah kan sebab Bahasa Melayu lama pun ejaannya banyak yang berbeza berbanding ejaan perkataan Melayu kini. 

Dah jadi hantaran berkaitan Bahasa Melayu pula ke ni? 😂 Tak adalah. Selingan saja. Jadi, semalam suami cadangkan goreng kuetiau untuk sarapan saya dan bekalnya. Alang², nak lah hantar juga untuk mentua. Kami pun selalu dapat makanan dari mentua. Okay kita tengok cara saya goreng kuetiau :

Bahan-bahannya :


Kuetiau 500 gram

Minyak masak 5 sudu besar

Minyak bijan 1 sudu besar

Kicap manis 3 sudu besar

Bawang putih 6 ulas

Bawang merah 3 ulas

Cili kering yang diblend 1 sudu setengah

Isi ayam/udang/kerang 

Telur 2 biji

Sos tiram 3 sudu

Sos cili 3 sudu

Kicap sotong 1 sudu kecil

Daun/sayur pilihan 


Cara menyediakan :


Perhatian : Tips supaya kuetiau yang digoreng tak mudah hancur dan tak terlalu lembik, kena gaul dulu di luar kuali.

Oh, dan sebelum masuk kepada resepi, masakan saya kali ini cukup untuk 5 orang makan. Kuetiau halus yang saya guna ni sebenarnya 950 gram. Kalau guna semua satu pack, risau tak habis. Jadi saya agak-agak, guna lebih daripada setengah pack. Anggaran dalam 500 gram untuk 5 orang makan. Selalunya orang masak kuetiau pack kecik 450 gram tu untuk 4 orang makan. Berikut gambar pack kuetiau yang saya guna :


1. Bilas kuetiau dengan air, jangan beria sangat ramas, nanti hancur tak sempat masuk kuali. Belai je lembut-lembut masa bilas tu.

2. Sejatkan air pada kuetiau, letak kuetiau dalam bekas yang sesuai. Letak minyak bijan & kicap manis hitam dalam bekas berisi kuetiau tadi dan gaulkan dengan berhati-hati supaya minyak bijan dan kicap tadi sekata & rata pada kuetiau.

3. Kisar bawang merah & bawang putih. Saya suka guna blender kering. Nak blend basah pun boleh, nak mayangkan aje bawang tu pun boleh. Kemudian, letak minyak dalam kuali dan masukkan bawang-bawang yang telah dikisar tadi. Tumislah bawang tu dengan api perlahan sehingga nampak garing (bukan hangit ya).

4. Seterusnya, bubuh cili kering yang telah dikisar. Saya guna blender basah. Cili kering, saya guna yang 'kurus²', baru lah pedas. Kalau tak nak pedas, pakailah cili kering yang gemuk dan besar saiznya. Tumislah cili kering tu pula sampai nampak garing juga.

* Cara sediakan cili kering kisar : Ambil cili kering dalam jumlah yang banyak terus. Dalam 30-40 biji ke, kemudian gunting buang kepala cili tu, dan gunting la cili tu kepada 2 atau 3 bahagian supaya senang diblend nanti. Lepas gunting, bilas dengan air, rebus dalam periuk sampai menggelegak. Kalau saya, saya sejatkan dulu cili yang direbus tadi kemudian masukkan dalam blender basah, letak je air masak/air coway, kemudian, kisarlah sampai lumat. Letak dalam bekas, simpan dalam peti. Ada orang guna minyak untuk kisar cili ni, tapi saya tak suka. Air je cukup. Bila dah kisar banyak² & simpan, nanti nak guna, senang.

5. Kemudian, letak air sikit supaya tak mudah hangit. Bubuhlah isi ayam. Saya guna ayam cincang je yang selalu guna untuk spaghetti tu. Alang² tinggal sikit lagi, habiskan je lah. Ha kacau-kacau. Lepastu masukkanlah telur dua biji, tunggu kejap dan kacau telur tu. Barulah dia tak terlalu hancur tapi janganlah letak telur, lepastu tinggal sampai jadi telur mata. Kacaulah bagi dia jadi macam scramble egg gitu. Kalau letak isi udang, lebih sedap dan manis tapi kami tak ada udang. Kalau ada fishcake, letaklah fishcake sekali. Memang sedap. Saya masak letak aje apa yang ada dalam peti tu.

6. Lepas tu, bubuhlah sos tiram dan sos cili. Kicap, saya dah tak letak sebab tadi dah gaul kicap manis pada kuetiau. Kacau-kacau sampai rata dan air agak kering.

7. Bolehlah letakkan kuetiau yang telah dibasuh dan digaul tadi ke dalam kuali. Gaullah sehingga sebati dengan semua bahan tumisan dan lauk tadi.

8. Bubuhlah daun/sayur pilihan. Saya cuma ada kangkung je yang sesuai untuk diletak. Kangkung saya ambil daunnya saja.

Selalunya, orang akan letak daun bawang dan tauge juga. Tapi saya tak ada daun bawang & tauge. Tauge tu suami saya memang tak gemar 😂 Jadi kami tak beli.

9. Kacau-kacau sampai rata, kemudian rasalah dulu sebelum tutup api. Kalau dah tiada yang perlu dibaiki, dah siap..! Boleh tutup api dan hidangkan.

Perasan tak, dalam masakan saya kali ini, saya tidak menggunakan gula, garam bahkan serbuk perasa? Tak perlu sebab sos tiram, sos cili & kicap manis dah berikan rasa yang cukup. Kalau masih rasa kurang di lidah kalian, tambah sajalah gula/garam/perasa tu ya. Citarasa masing². 

Inilah dia rupa kuetiau yang tak seberapa tu :


Abaikan nugget tu 🤭 Bekas besar tu untuk dihantar kepada mentua. Yang bekas kecil sedikit tu dan nugget untuk bekal suami. Ya, se"simple" itu saja. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

"Hidden" Hantaran

  Assalamualaikum, rakan-rakan. Hari ini saya akan berkongsi tentang "hidden" hantaran. Masih ada yang tidak tahu, apa maksud ...