Pengikut

Sabtu, 21 November 2020

TIPS SEBELUM TEMUDUGA (Bahagian 1)

 

Kredit : medium.com

Assalamualaikum, kawan-kawan 😉


Seperti yang telah dijanjikan, pada hantaran kali ini saya akan kongsikan "Tips Sebelum Menghadapi Temuduga Kerja".



1 ✒ Cari maklumat tentang syarikat.


Antara maklumat yang perlu kita tahu adalah :

  • Nama penuh syarikat (jangan sampai tersilap ya)
  • Nama pengusaha / pengasas
  • Nama orang yang uruskan sesi temuduga kita (yang memberi makluman temuduga)
  • Sejarah ringkas syarikat (dibina tahun berapa)
  • Cawangan-cawangan yang ada bawah naungan syarikat
  • Produk-produk keluaran syarikat (jika berkaitan)
  • Visi dan misi syarikat (cuba kaitkan dengan misi kita menyertai syarikat tersebut)
  • Pencapaian terbaru syarikat (maklumat tambahan)

Semua maklumat di atas tidaklah perlu dihafal semua cuma sekurang-kurangnya kita pernah baca dan faham.



Kredit : temudugaspa8i.com


2 ✒ Sediakan segala dokumen yang diperlukan. 


Saya telah menulis secara terperinci tentang dokumen-dokumen yang diperlukan dan cara susunan fail untuk temuduga pada hantaran lain. Kawan-kawan boleh tekan pautan di bawah untuk membacanya :

Cara Susunan Dokumen Penting Untuk Temuduga



3 ✒ Jangka soalan yang akan ditanya. 


Untuk bahagian ini pun saya dah buat hantaran khusus. Saya senaraikan soalan yamg biasa ditanya berserta contoh jawapan. Rakan-rakan boleh rujuk di sini :

25 Soalan Temuduga Yang Biasa Ditanya




4 ✒ Buat persediaan untuk perkenalkan diri. 


Untuk temuduga berkaitan guru Agama/Bahasa Arab, bersedia dalam Bahasa Arab. Untuk kebanyakan temuduga bagi jawatan profesional, selalunya dalam bahasa Inggeris (Jika laman web syarikat menggunakan Bahasa Inggeris, pastikan kita buat persediaan dalam bahasa Inggeris). 



Kredit : therohani.com


Apabila disuruh "perkenalkan diri anda", jangan bercerita panjang lebar. Antara perkara penting untuk diberitahu ialah :

  • Nama panggilan (nama pendek. Bukan nama manja)
  • Umur
  • Bidang pembelajaran dan di mana (nama universiti/kolej/sekolah)
  • Pengalaman bekerja (jawatan dan nama syarikat) - jika ada
  • Pengalaman praktikal/latihan amali (jika belum ada mana-mana pengalaman bekerja)
  • Pengalaman menguruskan/menyertai apa-apa program (jika pengalaman praktikal pun tiada)

Berhenti di situ saja untuk sesi perkenalan diri kita. Selalunya saya sebut juga status perkahwinan dan tempat tinggal. Kalau kawan-kawan rasa perlu sebut yang tu juga, silakan. 



Lepas kita perkenalkan diri, biasanya panel akan tanya, "ada lagi ke yang nak diberitahu tentang diri anda?" Yang ni, kita boleh bercerita secara ringkas tentang sebab kita memohon jawatan tersebut di syarikat itu dan cuba kaitkan dengan misi/visi syarikat. Contoh :



"Saya sangat meminati profesion perguruan dan saya dapati misi yang ingin dicapai oleh syarikat ini selari dengan misi saya sendiri untuk menjadi seorang pendidik yang ............................"



5 ✒ Kuasai resume.


Pastikan apa yang ditulis dalam resume sama dengan hakikat sebenar ya dan pastikan kita ada penerangan untuk setiap soalan berkaitan resume kita. 


Sebagai contoh, jika ditanya tentang kemahiran anda dalam "photoshop", anda boleh terangkan kemahiran anda secara terperinci, contohnya pencapaian seperti menyediakan poster untuk program besar dan sebagainya.


_________________________________________  💕



Untuk bahagian pertama, saya akhiri di sini sahaja dulu hantaran saya. Saya akan sambung tips sebelum temuduga bahagian kedua pada hantaran akan datang. Terima kasih sudi membaca 😉



💗 Baca juga hantaran berkaitan di sini :



Sabtu, 14 November 2020

MAKLUM BALAS TERHADAP JEMPUTAN TEMUDUGA



Kredit : pngtree

Assalamualaikum kawan-kawan semua. Hantaran saya kali ini hanya berkisar tentang apa yang perlu kita lakukan dalam fasa kita baru mendapat jemputan temuduga. 


Terdapat pelbagai cara yang digunakan oleh majikan untuk memaklumkan bahawa kita terpilih untuk temuduga. Boleh jadi melalui panggilan telefon, pesanan ringkas melalui "WhatsApp", emel ataupun kita dijemput masuk ke dalam "group WhatsApp" bersama dengan calon-calon lain seperti berikut : 


"Group" Makluman Temuduga
di "WhatsApp"


Setelah dijemput masuk ke dalam "group" dan mesej sebegini dihantar, bagaimana respon sepatutnya? Adakah kita boleh sekadar membalas:


"Hadir" atau "Saya hadir"


Berikut di bawah saya kongsikan contoh maklum balas kehadiran yang agak bagus dan memudahkan pihak syarikat :


Maklum balas rakan saya di "group"


Pada pandangan saya, maklum balas berikut bagus kerana mengandungi nama penuh, makluman kehadiran, kemas susunan ayat dan tidak kelihatan "sesak".


Namun begitu, kita perlu berhati-hati dalam menggunakan "emoji" agar tidak berlebihan. Dalam gambar di atas, terdapat agak banyak "emoji" yang mana perlu dikurangkan agar kelihatan lebih formal. 


Sebaiknya kita sediakan dari awal surat rasmi ucapan terima kasih dan makluman kehadiran sebab ada kemungkinan kita akan memerlukannya nanti.


Surat permohonan maaf 
tidak hadir ke temuduga


Di atas ini adalah contoh surat tidak dapat hadir ke temuduga yang saya hantar kepada pihak majikan. Walau apa pun kekangan kita untuk hadir ke sesi temuduga, maklumkanlah dulu kepada majikan/ pihak yang menghubungi kita untuk makluman temuduga.


Jika rakan-rakan berminat, boleh muat turun contoh surat berkaitan di sini :

💎 Surat Makluman Hadir Ke Temuduga

💎 Surat Makluman Tidak Hadir Ke Temuduga


Meskipun kita dah dapat tawaran kerja lain, jangan lupa ucapkan terima kasih dan maaf kepada pihak yang sudi menjemput kita ke sesi temuduga. Siapa tahu nanti akan tiba masanya kita memohon semula jawatan kosong di tempat yang sama.


Sekian dahulu perkongsian saya kali ini. Kita berjumpa lagi nanti. Semoga bermanfaat 💗 



Baca juga hantaran berkaitan di sini :




Jumaat, 13 November 2020

TIPS SEBELUM MEMOHON JAWATAN KOSONG

 

Kredit : envatotuts+


Assalamualaikum rakan-rakan pembaca sekalian. 

    
Pada hantaran kali ini, saya akan fokuskan perkongsian saya kepada "Persediaan Sebelum Memohon Jawatan Kosong." 😉



    
SEBELUM MEMOHON JAWATAN KOSONG


1 ✒ Menyediakan resume yang menarik. 


Berikut saya kongsikan contoh resume dan "cover letter" yang pernah saya buat.


Resume :

Resume saya

Resume ini saya sediakan dengan bantuan daripada kawan saya. Terima kasih yang tak terhingga untuk bantuan yang sangat besar ini. Saya gunakan resume ini untuk kesemua permohonan kerja saya.

    
Resume saya ini pula mengandungi beberapa bahagian yang kurang perlu seperti bahagian objektif yang berjela panjangnya, latihan industri dan pencapaian akademik. 

    
Saya terpaksa masukkan juga maklumat-maklumat tersebut supaya resume saya nampak penuh memandangkan sebelum ini saya tidak pernah ada sebarang pengalaman kerja. Saya pasti resume rakan-rakan lebih kemas dan padat. 😊


Sebelum saya sambung penulisan ini, jika berminat, kawan-kawan boleh tekan pautan di bawah untuk templat resume (templat resume yang saya pernah beli) ðŸ‘‡



Apa yang saya pernah baca berkenaan resume, antara perkara penting yang perlu ditekankan berkenaan resume ialah : 


Wajib ada gambar dan gambar mestilah formal (seperti gambar pasport). Gambar boleh diambil sendiri asalkan tidak terlihat seperti gambar swafoto (muka ataupun badan kelihatan senget, kepala tak nampak penuh).


❤Resume perlu menarik dan berbentuk infografik (saya punya tak infografik, belum belajar lagi. Cuma saya ada kongsi templat di atas sana. Kawan-kawan juga boleh tengok banyak lagi templat secara atas talian rasanya.


❤Warna dalam resume jangan sampai lebih daripada tiga warna dan jangan sampai hitam putih sahaja.


❤Alamat emel yang ditulis dalam resume mestilah emel formal (emel dengan nama sendiri). Contoh : amiraaisya@gmail.com (tidak berkenaan dengan mana-mana kenalan saya atau diri sendiri). 

Dilarang menggunakan alamat emel seperti ini : 
  • amiracomel@gmail.com /
  • sakuranaruto@gmail.com.


❤Sangat bagus jika ada bahagian "rujukan" (bekas guru/ pensyarah/ majikan lama) tapi jangan lupa maklumkan dulu pada mereka sebelum kita masukkan maklumat mereka dalam resume. Antara maklumat berkaitan rujukan ialah :

✔ Nama orang rujukan
✔ Profesion
✔ Di mana tempat kerja mereka (nama penuh syarikat)
✔ Nombor telefon orang rujukan


Saiz tulisan (font) yang digunakan mestilah konsisten. Jangan terlalu banyak saiz tulisan yang berbesa-beza (memadai dua saiz sahaja).


❤ Jumlah perkataan-perkataan yang dihitamkan (bold) tidak boleh terlalu banyak dalam resume.


❤Sekiranya CGPA akhir kita kurang memberangsangkan, kalau boleh elakkan letak dalam resume

Ini boleh mengelakkan majikan daripada berhenti tengok resume kita setakat itu saja. Sekurang-kurangnya kita boleh "delay" kan majikan supaya baca pencapaian-pencapaian kita yang lain.


Itu sahaja perkongsian saya berkenaan resume. Panjang betul satu isi 😅 Maaf ya kawan-kawan. Kita teruskan ya..




2 ✒ Menyediakan "cover letter" untuk dihantar bersama resume.


"Cover Letter" saya


Jika diperhatikan, banyak kekurangan yang ada dalam "cover letter" saya tu. Untuk pengetahuan kawan-kawan,  36 permohonan jawatan yang pernah saya buat adalah melalui atas talian, hanya untuk permohonan KAFA sahaja saya hantar borang ke Pejabat Pendidikan Daerah. 


Kebanyakan permohonan saya pula banyak yang dibuat melalui penghantaran emel. Jadi, memang lebih kurang begini sahajalah "cover letter" yang saya gunakan. Saya cuma sunting (edit) bahagian jawatan yang saya mohon, nama syarikat dan pengalaman berkaitan. 

    
Cuma, seperti yang saya beritahu di atas, banyak kekurangan "cover letter" saya ini. Antara yang saya sendiri nampak :


❌ Tiada alamat pemohon dan alamat syarikat yang dipohon (Ini kan surat rasmi, patutnya ada).

❌ Terdapat kesalahan ejaan (Kesalahan yang tidak dapat dimaafkan sepatutnya).

❌ Tiada bahagian "Yang benar,.. nama pemohon" di bahagian surat paling bawah.


Saya bernasib baik kerana saya tetap dipanggil untuk temuduga oleh syarikat yang saya mohon dengan menggunakan "cover letter" di atas. Namun begitu, boleh jadi saya tidak dipanggil temuduga untuk 27 jawatan lagi disebabkan kekurangan-kekurangan sebegini juga.


💥 Sebelum terlupa, saya nak ingatkan, emel yang kita guna untuk menghantar resume atau apa-apa dokumen berkenaan diri mestilah emel rasmi kita seperti yang telah saya sebut di atas (emel yang ditulis dalam resume).


Ada juga permohonan yang perlu dibuat melalui "WhatsApp", saya turut menggunakan cara yang sama. Saya tidak mulakan penghantaran mesej dengan "Ada lagi tak kerja kosong?", "Boleh ke saya nak memohon...". 

    
Saya akan hantar "cover letter" yang sama saya hantar ke emel-emel untuk permohonan lain seperti berikut :


Oh ya, sama ada untuk menghantar "cover letter" ataupun resume dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, terpulang pada bahasa yang digunakan dalam iklan kerja. 


Jika iklan jawatan kosong tersebut dalam Bahasa Melayu, hantar resume dan "cover letter" dalam Bahasa Melayu. Sediakan siap-siap "template" surat kita dan resume dalam dua bahasa. 


Di sini kawan-kawan boleh muat turun contoh "cover letter"  ðŸ‘‡

💎 "Cover letter" Bahasa Melayu

💎  English Cover Letter



3 ✒ Buat salinan dokumen-dokumen penting (paling kurang lima salinan - jika takut membazir).


Lebih baik jika kita fotostat / buat salinan dokumen-dokumen penting awal-awal. Lepastu terus dapatkan pengesahan. Nanti. dah dapat jemputan temuduga takla kita baru kalut nak pergi 'cybercafe' semua tu.


Bahagian persediaan sebelum memohon jawatan kosong selesai. Saya juga telah berkongsi cara berkesan untuk mencari kerja kosong sebelum ini. Untuk hantaran akan datang, saya akan berkongsi tentang "Tips Sebelum Menghadapi Temuduga Kerja". 


Terima kasih sudi membaca 😊 



💗 Baca juga hantaran berkaitan di sini :



Selasa, 10 November 2020

TIPS MENCARI KERJA (Pengalaman Mencari Kerja Bahagian 2)

 



    Assalamualaikum semua 💕 Sekali lagi kita bertemu pada hari ini. Seperti yang telah dinyatakan sebelumnya, hantaran kali ini berkisar tentang perkara-perkara yang saya tekankan untuk memastikan pencarian kerja saya lebih berkesan


    Sebelum ini, saya pernah membuat perkongsian ini di dalam "group" pencarian kerja di laman "Facebook" dan hari ini saya kongsikan pula di blog saya sendiri dengan harapan perkongsian ini manjadi menfaat kepada para pembaca semua. Jom baca perkongsian saya. 😉 Semoga perkongsian saya terus memberi manfaat kepada semua.


    Antara perkara-perkara penting yang saya tekankan untuk memastikan pencarian kerja saya lebih berkesan adalah :


1. 💗 Berfokus pada "page" & saluran pencarian kerja serta mengutamakan tempat kerja yang kita mahu (Contoh : Kelantan).

    Saya perhatikan ramai juga yang lebih gemar membuat hantaran pertanyaan di "group mencari kerja" Facebook bahkan saya sendiri pernah terfikir untuk berbuat begitu. Namun begitu, saya banyak memerhati dulu sebelum bertindak. 

    Apa yang saya dapat lihat, hantaran sebegitu jarang membantu pencari kerja malah lebih banyak mengundang komen daripada "scammers" dan orang-orang yang menawarkan pekerjaan yang tidak dimahukan. Ini contoh hantaran pertanyaan kerja kosong di "group" pencarian kerja :


    Pada pandangan saya, berbanding hantaran pertanyaan kerja begitu di "group" Facebook, lebih berkesan jika kita berfokus pada "page" kerja dan "channel telegram" kerja. 


  ✒  Jika kita nak bekerja di Kelantan, ikuti "page" dan "channel kerja Kelantan sahaja" melainkan jika kita tidak kisah untuk bekerja di mana-mana negeri atau tempat. Memandangkan saya banyak mencari kerja di Kelantan, kebanyakan halaman "Facebook" dan saluran "Telegram" yang saya ikuti juga berkait dengan pencarian kerja di Kelantan

    Namun begitu, saya tetap memohon jawatan kosong di luar Kelantan jika gaji bersesuaian dengan anggaran perbelanjaan. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan seperti pembayaran sewa rumah, kenderaan dan sebagainya. 



Saya kongsikan pautan saluran dan laman yang saya ikuti seperti berikut.


✔ "Channel Telegram" (Sila search 'Telegram' di PlayStore, tekan "install" dan daftarkan nombor. Seterusnya, tengok semula hantaran saya ini dan tekan pautan yang saya kongsi di bawah kemudian tekan "join channel") :

🌸    https://t.me/JawatanKosongKelantan

    Jika rakan-rakan pembaca bukan "Kelantanese" dan mencari kerja di negeri masing-masing, taip sahaja pada bahagian "Search" di Telegram , contoh : Jawatan/Kerja Kosong di Selangor (mengikut negeri masing-masing).



✔ "Like Page Facebook" Kerja Kosong di Kelantan, antaranya (sila tekan pautan) :


🌸    https://m.facebook.com/keje0/

🌸    https://m.facebook.com/jkkelantan/

🌸    https://m.facebook.com/Insan2.Kelantan/



✒    Selain "page" dan saluran Telegram kerja negeri, setiap hari, saya ringankan tangan, buka "google chrome", taip secara terperinci. contoh :

🌸    Kerja kosong di Pasir Puteh 2020

🌸    Kerja Kosong di Kota Bharu 2020

🌸    Jawatan Kosong Guru di Pasir Mas 



✒    Selain itu, setiap hari saya akan tengok laman-laman pencarian kerja di "Google". Dah buka laman, saya khususkan terus pencarian untuk Kubang Kerian @ Kota Bharu @ Kelantan terus. Antara laman-laman kerja yang memudahkan : 


🌸    https://www.indeed.com.my/jobs-in-Kelantan

🌸    https://m.mudah.my/list?cg=7020&ca=4_1_s

🌸    https://www.majalah.com/?kelantan.kerja-kosong (yang ini agak jarang dikemaskini hantarannya)



Aplikasi untuk pencarian kerja


    Bukan itu sahaja, saya turut memuat turun aplikasi pencarian kerja. Antara yang memudahkan yang pernah saya "install" ialah :


🌸    https://play.google.com/store/apps/details?id=com.jora.android

🌸    https://play.google.com/store/apps/details?id=com.fastjobs.asia

🌸    https://play.google.com/store/apps/details?id=my.maukerja.applicant


    Setiap hari, saya memang akan sentiasa "check update" terbaru di "channel" dan "page" yang saya ikuti dan pada aplikasi yang saya muat turun. Banyak lagi sebenarnya yang boleh diikuti dan dimuat turun. Saya cuma mampu kongsikan "page" yang saya ikuti. laman-laman yang saya selalu "search" dan aplikasi yang saya "install" sahaja sebagai perkongsian.



2. 💗 Saring iklan kerja. 


✒ Saya akan abaikan terus iklan kerja seperti berikut :


🌸    Tak dinyatakan perincian kerja (jawatan, tempat dan lain-lain). Apabila ditanya kerja apa, di mana, kita disuruh untuk "dm" mereka. Banyak orang share iklan2 macamni di hantaran-hantaran pertanyaan kerja dalam "group" di laman Facebook.



🌸    Iklan yang tawaran gajinya tidak dilihat munasabah dengan beban kerja (contoh : bekerja dari rumah dapat 3000 @ kerja dalam pejabat gaji 3000, kelayakan "fresh graduate", lepasan SPM dll).


    Kemudian, saya akan tengok dulu kelayakan yang diinginkan dalam setiap iklan, jika dari awal tak menepati kelayakan saya, saya potong terus dari senarai. Kalau tak, ia akan buang masa saya dan majikan. Kadang-kadang boleh kita ambil pendekatan untuk tetap "mencuba nasib" tetapi kebanyakan masanya, waktu kita akan terbuang begitu saja. 😔


    Jika tempat kerja yang diiklankan tu jauh dari tempat saya, saya akan 'Keep In View = KIV' dulu, utamakan yang lebih dekat dengan tempat saya. Memandangkan saya memang tiada kenderaan sendiri, saya akan utamakan tempat kerja yang berdekatan dengan rumah sahaja (10 kilometer ke bawah) kecuali untuk jawatan-jawatan di luar negeri yang tawaran gajinya agak tinggi dan bersesuaian dengan target perbelanjaan semasa.



3. 💗 Jaga adab menulis hantaran dan berbalas komen.


    Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri, jika nanti saya sendiri terpaksa memilih cara tambahan untuk mencari kerja seperti menulis hantaran-hantaran pencarian kerja di "group" Facebook kerja dan "group" WhatsApp kerja, saya perlu sentiasa bersedia untuk mendapat komen dan iklan daripada "scammers", komen iklan-iklan yang tidak menepati kehendak kita dll (seperti yang dinyatakan dalam isi kedua saya di atas sana). Namun begitu, adab masih perlu diutamakan.


    Ini juga peringatan untuk diri saya dan semua, jika ada yang komen bertanya, "Berminat tak untuk bekerja sebagai pembantu rumah / kerja-kerja "housekeeping" dan seumpamanya?" yang tidak bersesuaian dengan kemahuan kita, elakkan menjawab "Saya tak berminat / Saya toksey kijo gitu (Saya taknak kerja begitu) / dll". Cuba jawab macamni : 


"Terima kasih atas pertanyaan / cadangan / perkongsian / iklan. Cuma kalau boleh, saya nak cari kerja berkaitan ................" (Spesifikkan dan sebut kelayakan terus pun bagus).


    Jika ada iklan-iklan yang kita syak sebagai "scammers" dan seumpamanya,  elakkan balas dan tak perlu mohon. Tidak perlu juga kita sengaja  mencari gaduh. Biarkan saja. Respon saja pada yang menawarkan jawatan yang jelas (skop kerja dan tempat kerja yang jelas).


    Apa kepentingan menjaga adab? Yang pertama, orang akan senang hati dan ikhlas membantu kita jika mereka mampu dan ada maklumat. Yang kedua, siapa tahu dalam group tersebut, mungkin ada majikan yang memerhati dan mencari pekerja, sudah tentu yang beradab dan berakhlaq menjadi pilihan. Untung-untung, majikan tu terus bagi tawaran kerja.



Kredit : Kartun Dakwah Muslimah


4.
💗 Banyakkan doa, pergantungan kepada Allah dan bersabar (Ini sebenarnya yang paling penting, perlu dibuat sebelum memulakan langkah dan mesti berterusan) : Mungkin daripada berpuluh-puluh kerja yang kita mohon, beberapa panggilan temuduga saja yang kita dapat. Dalam banyak-banyak temuduga yang kita hadiri, ada kemungkinan satu pun tak dapat. 

    Cari kerja tidak mudah. Jangan terlalu memilih tambahan lagi bagi "fresh grad" / lepasan SPM yang masih tiada pengalaman kerja (pesanan buat diri saya sendiri).


    Sekali lagi hantaran saya begitu panjang bahkan mungkin lebih panjang daripada hantaran sebelum ini. Terima kasih yang tak terhingga atas kesudian pembaca sekalian. Maaf jika ada tersalah kata dan mengguris hati sesiapa. Niat saya hanya sekadar untuk berkongsi pengalaman. Semoga penulisan saya memberi manfaat kepada semua. 😊


    Sebelum ini saya hanya kongsikan pengalaman ditemuduga untuk Guru KAFA. Jika ada peluang, saya akan kongsikan pula pengalaman saya ditemuduga di beberapa tempat lain, in sya Allah. Semoga kita dalam jagaan Allah sentiasa. 💕 

PENGALAMAN MENCARI KERJA (Bahagian 1)



    Assalamualaikum, kawan-kawan 💗 Untuk hantaran kali ini, saya akan berkongsi pengalaman saya mencari kerja sebagai seorang graduan yang baru sahaja melepasi alam universiti. Sejujurnya, saya telah tamat belajar pada Januari 2019 tetapi kerana kekangan peribadi, saya baru mula gigih mencari pekerjaan pada bulan Oktober 2019 selepas berlalunya Majlis Konvokesyen saya yang berlangsung pada bulan yang sama.


Senarai jawatan terawal
yang saya mohon


    Sehingga ke hari ini, saya telah membuat 37 permohonan pekerjaan dan saya mendapat sepuluh panggilan temuduga daripada jumlah permohonan tersebut. Saya hanya berpeluang menghadiri tujuh sesi temuduga atas sebab kekangan kesihatan dan dua daripada panggilan temuduga tersebut saya dapat setelah saya mula bekerja di Syarikat Aulad Pintar Education Sdn. Bhd. 

    Pada awalnya, cara pencarian kerja saya agak kurang sistematik sehingga membuatkan saya tertekan. Jika dilihat dalam gambar senarai awal permohonan kerja saya seperti di atas, kelihatan seperti saya hanya memohon jawatan pegawai yang mana memerlukan banyak pengalaman bekerja. Sebelum ini, ada juga segelintir yang menganggap saya terlalu memilih kerja. Namun begitu, saya sebenarnya turut memohon untuk jawatan jurujual, pembantu kedai dan sebagainya. Malangnya, untuk jawatan-jawatan seperti itu saya langsung tidak dipanggil untuk ditemuduga.


    Daripada kesemua senarai permohonan saya, kebanyakan daripadanya adalah permohonan jawatan sebagai guru kerana saya memang meminati profesion perguruan. Daripada tujuh sesi temuduga saya, empat daripadanya untuk jawatan guru, dua sesi temuduga untuk jawatan admin dan satu untuk pembantu tadika


    Daripada jumlah temuduga yang saya hadiri pula, saya mendapat lima tawaran bekerja dan hanya dua jawatan yang saya terima iaitu sebagai guru di Sekolah Rendah Islam Integrasi Aulad Pintar (SRII AP) di bawah Aulad Pintar Education Sdn. Bhd. (Januari-Ogos) dan tawaran Guru KAFA (September-kini). 


    Untuk pengetahuan rakan-rakan, saya menolak tiga lagi tawaran jawatan dengan penuh rasa hormat dan rendah hati. Penolakan jawatan tersebut dibuat disebabkan tawaran tersebut datang setelah saya menerima tawaran pekerjaan lain.


    Itulah serba sedikit ringkasan tentang pekerjaan yang saya mohon. Untuk hantaran "Pengalaman Mencari Kerja Bahagian 2", saya akan kongsikan beberapa perkara yang saya tekankan untuk memastikan pencarian kerja saya lebih berkesan. 


   Sebelum menamatkan hantaran kali ini, saya ingin memanjatkan seinfiniti kesyukuran pada Sang khaliq atas kemurahan rezeki ini. Alhamdulillah. Terima kasih yang tak terhingga juga buat ummi abuya, adik-adik, ahli keluarga dan sahabat-sahabat saya yang banyak mendoakan dan memberikan dokongan padu. Tidak lupa kepada majikan Aulad Pintar Education Sdn. Bhd. atas peluang yang diberi meskipun saya masuk bekerja untuk pertama kalinya dengan pengalaman yang nihil. Tidak lupa juga rakan-rakan sekerja di SRII Aulad Pintar. Pengalaman ini adalah permulaan besar dalam hidup saya.


    Terima kasih atas kesudian rakan-rakan membaca hantaran ini. Jangan lupa baca Bahagian 2 yang lebih banyak input ya 😉 Semoga hantaran akan datang memberi manfaat kepada kawan-kawan.

Isnin, 9 November 2020

TEMUDUGA GURU KAFA 2020

 



    Assalamualaikum, berhabuk sudah blog saya ni. Inilah akibat kemalasan yang tidak dibendung 😩. Dalam hantaran saya sebelum ini, saya telah berkongsi cara memohon jawatan Guru KAFA. Untuk hari ini, saya akan berkongsi tentang pengalaman saya ditemuduga untuk jawatan Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA). 


    Sebelum segalanya, saya nak nyatakan kesyukuran pada Allah atas segala nikmat-Nya dan sekalung penghargaan buat majikan lama saya kerana telah membenarkan saya untuk menghadiri temuduga KAFA ini. Majikan saya, Pn. Hafizah selalu memberi peluang pada pekerja-pekerja beliau untuk memilih jalan terbaik untuk kerjaya masing-masing. Jom baca perkongsian saya. 😉


    Seperti yang telah saya tulis sebelum ini, saya dijadualkan untuk ditemuduga pada 8 Mac 2020 sebelum PKP diumumkan. Sebelum saya mula bercerita pengalaman temuduga saya, saya nak kongsikan dokumen yang perlu dibawa cuma dokumen-dokumen asal sahaja iaitu :


1. Kad pengenalan 

2. Sijil-sijil Pelajaran seperti Sijil PMR, SPM, STPM dan Sarjana Muda (jika ada)

3. Sijil-sijil Kokurikulum (bawa beberapa sahaja yang terbaik). 


Salinan tidak perlu dibawa. Saya bawa juga resume kot-kot memudahkan panel penemuduga untuk tengok secara menyeluruh tentang pencapaian saya. Okay, saya terus pada ceritanya ya. 


    Pada hari tersebut, saya keluar awal sedikit daripada sekolah lama saya untuk sesi temuduga (telah mendapat keizinan boss lebih awal 😬). Dari sekolah sudah berpakaian lengkap berbaju kurung dan memakai kasut bertutup, jadi tiada masalah tentang pakaian. Semasa hari temuduga, saya perhatikan ada yang memakai tag nama. Rasanya nampak lebih kemas begitu. Saya tak pakai tag nama masa tu sebab belum ada. Baik, kita teruskan ya..


    Temuduga saya diadakan di Institut Pendidikan Guru, Kampus Kota Bharu yang terletak di Pengkalan Chepa. Tiba di sana, kami calon temuduga ke meja urusetia dan menandatangani kehadiran. Selepas itu, kami diminta untuk duduk dan menunggu nama dipanggil. Setelah nama dipanggil, kami dimaklumkan untuk tunggu di hadapan bilik nombor berapa, saya dapat bilik nombor 3. Sesi temuduga dimulakan pada jam 2:30 petang tapi saya mula ditemuduga pada jam 4:30 petang dan tamat pada jam 4:55 petang. Saya calon terakhir yang ditemuduga untuk bilik nombor 3 sebab saya sampai ke sana sedikit lambat. 


    Oh ya, panel penumuduga ada dua orang dalam setiap bilik dan panel penumuduga untuk bilik nombor 3 kedua-duanya lelaki. Masuk sahaja ke bilik temuduga, saya diminta untuk meletakkan beg di tempat yang disediakan seterusnya saya menyerahkan dokumen-dokumen yang saya bawa. Setelah disuruh duduk, baru saya duduk di kerusi yang disediakan di hadapan panel-panel.


Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu
(Kredit : TutionJob University)


Berikut adalah arahan dan soalan-soalan yang diberikan kepada saya :

📌 Saya diminta untuk taaruf (memperkenalkan diri) dalam Bahasa Arab sebab kursus pengajian saya Al-Quran dan Al-Hadith (Pengajian Islam). Kalau bidang kita bukan Pengajian Islam atau Bahasa Arab, selalunya taaruf hanya dalam Bahasa Melayu. Saya dah hafal siap-siap maklumat diri dalam Bahasa Arab seperti :

Nama

❤ Umur

❤ Status perkahwinan

❤ Tempat tinggal

❤ Tempat belajar

❤ Tempat praktikal

❤  Pekerjaan

Lepas habis saya taaruf tu, panel tanya ada lagi ke yang nak dikongsi tentang diri awak? Saya jawab tak ada. Panel tanya pekerjaan ayah dan ibu serta bilangan adik beradik (Yang ni panel cakap jawab ja dalam Bahasa Melayu). Sebab dia boleh agakla tu saya menghafal untuk taaruf kang tak berjawab apabila ditanya secara mengejut 😂





Bahagian Al-Quran dan Tajwid

📌  Selepas taaruf, panel tanya tahu tak surah apa ibu kepada al-Quran? Haha rasa blur sangat masa ni, jawab Yaasin la, Al-Ikhlas la. Selalu dengar Yaasin dikatakan jantung al-Quran, Al-Ikhlas pula kalau dibaca tiga kali kan ibarat habiskan seluruh al-Quran. Tu la sebab jawab macamtu. Haha. lepastu panel pun cakapla takkan tak pernah dengar "Ummul Kitab"? Saya terus "haaaa. Al-Fatihah. Ummul kitab rupanya. Panel sampai tergelak katanya kalau bahasa Arab tahu pula, Bahasa Melayu ibu Quran tak tahu. Saya tahan malu sajalah. Lepastu panel suruh saya baca Surah al-Fatihah (yang ni arahan wajib, semua calon kena). 

    Lepas baca surah tu, panel minta saya keluarkan hukum-hukum tajwid yang ada dalam ayat (ghairil maghdhubi alaihim waladdhollin" daripada surah al-Fatihah. Antara yang saya jawab :

🌸 Ghairi, Alaihim : Mad Lin

🌸 Ghairi : Ra Tarqiq (dibaca nipis sebab berbaris bawah)

🌸 Al-maghdhubi : Alif Lam Qamariah

🌸 Alaihim wala : Izhar Syafawi (Mim mati bertemu huruf selain mim dan ba)

🌸 Addhollin : Alif  Lam Syamsiyah, 

🌸 Addhollin : Mad Lazim Kalmi Mutsaqqal (6 harakat)


📌  Kemudian, panel berikan kepada saya sekeping kertas yang tertulis fawatih al-suwar (pembuka surah-surah) : Antaranya Ha mim, Tho ha, Kaf ha ya ain sod dan banyak lagi. Panel suruh baca semua kalimah-kalimah tu dengan tajwid yang betul. 

    Selepas selesai baca semua, panel sebut kalimah yang ke berapa, saya diminta untuk sebut hukum kalimah tersebut. Hukumnya kalau fawatih al-suwar antara dua sahaja, sama ada mad lazim harfi mukhaffaf ataupun mad lazim harfi mutsaqqal (dan mad lazim memang dibaca enam harakat kecuali untuk huruf ha, tho, ra', ya dan alif - yang ni kita boleh tengok ja dalam al-Quran, kalau yang ada tanda mad tu enam harakat la untuk fawatih al-suwar, kalau tak ada tu maknanya dua harakat sahajalah bacaannya). Contoh, Tho ha, kedua-duanya dibaca dua harakat, tak ada yang dibaca enam harakat sebab termasuk huruf yang dikecualikan daripada baca enam harakat.


📌 Setelah itu, saya ditanya banyak mana surah yang dihafal? Saya jawab hafal surah-surah juz amma ja sikit-sikit. Haha tak berani nak sebut surah-surah panjang, masa ni berdebar sampai kalau disuruh baca al-mulk pun boleh lupa semua. Panel minta saya baca Surah At-Tin sahaja. 


📌 Kemudian, panel tanya surah apa yang berjaya membuka hati Saidina Umar untuk memeluk agama Islam? Yang ni, saya betul-betul lupa. Panel yang bagi jawapan, Surah Thoha. 


Bahagian Ibadah

📌 Setelah selesai bahagian al-Quran, panel minta saya buat 'mock teaching', saya kena jadi guru dan panel-panel bertindak sebagai murid-murid. Panel berikan tajuk untuk saya ajar : Rukun Solat.

    Saya ke hadapan bilik dan berlakon seperti di dalam kelas. Saya sebut pembahagian rukun solat terbahagi kepada tiga : rukun qalbi (niat), fi'li (perbuatan) dan qauli (sebutan). Panel meminta saya menulis apa yang diajar pada papan putih (tulisan Jawi sangat digalakkan). Selepas itu, panel mula memberikan soalan bertubi-tubi bertujuan untuk mengelirukan kita. Antara soalannya :

🌸 Wudhu' rukun solat yang ke berapa? Jawapan : Wudhu' tak termasuk rukun solat, itu syarat sah solat.

🌸 Menghadap kiblat rukun solat qauli ke fi'li? Jawapan : Menghadap kiblat pun bukan rukun solat tetapi rukun sah solat.

🌸 Telekung dan kopiah rukun solat ke berapa? Jawapan : Bukan rukun solat. Salah satu syarat sah solat ialah menutup aurat, memakai telekung hanya sebagai wasilah menutup aurat. Kalau yakin pakaian dah tutup aurat. tak pakai telekung pun takpa. 

🌸 Islam rukun solat qalbi ke? Jawapan : Rukun solat qalbi ialah niat. Islam ialah syarat wajib solat.

🌸 Apa rukun solat terakhir (yang ke-13)? Jawapan : Tertib. Yang ni saya lupa haha. Saya jawab memberi salam. Bnyak kali panel tanya pasti atau tak? saya tak pasti tapi dah tak tahu nak jawab apa, lupa jawapannya ialah tertib.


📌 Selepas itu, saya diminta duduk semula, panel bertanya : "ada beberapa silibus/pengajaran yang boleh membuatkan guru segan untuk terangkan tambahan lagi kepada pelajar-pelajar lelaki, ustazah sendiri macam mana?". Jawapan saya : Segan tu semestinya ada tetapi saya tahu tanggungjawab saya adalah untuk menjelaskan ilmu dengan terus terang, tepat dan cara paling mudah difahami. Saya pun berpengalaman mengajar tentang keluar air mani dalam bab hadas besar. Tidak dapat tidak, saya perlu terangkan macam mana rupa air mani, macam mana air mani keluar (waktu tidur dan sebagainya).


Bahagian Umum

📌 Kemudian, panel tanya tentang penglibatan aktiviti di universiti. Panel minta saya senaraikan semua persatuan yang saya sertai dan jawatan yang saya pegang di universiti. 


📌 Panel tanya lagi, "awak tak rasa bersalah ke dengan orang-orang yang belajar sehingga tahap SPM dan PMR yang memohon KAFA? Awak dah dikira ambil rezeki orang ni sebab awak ada kelayakan yang lebih tinggi. Awak tambah persaingan untuk rakan-rakan awak yang lebih memerlukan padahal awak ada potensi untuk pergi lebih jauh. 

    Jawapan saya : Itu terpulang pada penilaian panel sama ada ingin menerima saya ataupun tidak bagi jawatan ini. Dalam isu mencari pekerjaan, tiada isu mengambil rezeki orang lain sebab semua orang memang sudah ditetapkan rezeki masing-masing. Saya sebagai pemohon, hanya mengambilkira minat, arah tuju dan jalan paling bersesuaian untuk saya sebagai saluran ke arah bidang pendidikan.


📌 Setelah itu, panel tanya apa lagi jawatan yang saya mohon? Saya sebut guru Yayasan Islam Kelantan (YIK). Panel tanya, yang mana satu akan dipilih sekiranya awak diterima untuk kedua-dua jawatan, guru KAFA dan guru YIK? Yang ini, saya jawab guru KAFA la, atas sebab peribadi saya.




    Setelah habis semua soalan, salah seorang panel bagi saya pesanan, katanya :

"Jika ada peluang untuk pergi lebih jauh dan menapak lebih tinggi, kejarlah. Masyarakat perlukan kita yang berpendidikan dan berkemahiran dalam bidang masing-masing. Pergilah lebih jauh, berdakwahlah. Jangan disia-siakan peluang yang datang."


Terkedu juga saya, tapi pesanan tu tersemat dalam dada saya sehingga ke hari ini. Saya fikir masa tu saya dah takkan dapat jawatan guru KAFA ni sebab pesanan tu seolah-olahnya begitu. Alhamdulillah rezeki dapat juga. Saya, kak Sha dan Nuna diterima sebagai guru KAFA. Temuduga pada bulan Mac, keputusan lulus temuduga dikeluarkan di portal JAKIM pada hujung Julai, perjumpaan dibuat pada 27 Ogos dan kami bertiga menjadi guru KAFA secara rasmi pada 30 Ogos 2020.


Gambar kami bertiga semasa perjumpaan
Guru-guru KAFA yang baru dilantik


    Maaf ya. penulisan saya kalini agak panjang. Ada lagi ni saya nak kongsi arahan dan soalan-soalan yang ditanyakan kepada kawan-kawan dan orang lain yang ditemuduga pada hari tersebut :

🌸 Disuruh baca surah al-fatihah serta makna bagi setiap ayat

🌸 Hukum tajwid bagi ayat pertama surah al-fatihah

🌸 Nama-nama penting yang wajib diingat, antaranya : 

- Ketua Pengarah JAKIM : Allahyarham Dato' Paimuzi Bin Yahya (Allahyarham Dato' Paimuzi baru sahaja meninggal dunia pada 8 Oktober 2020 baru-baru ini. Kita sedekahkan al-Fatihah buat beliau. Kalau tak silap saya, masih belum ada lantikan baru setakat ini).

- Ketua Seksyen Pengurusan KAFA Kelantan : Pn. Siti Nor Jihan Binti Salleh @ Md. Ghazali

- Menteri Besar Kelantan : YAB Dato' Haji Ahmad Bin Yakob

- Perdana Menteri : YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin

- Mufti Kelantan : YB. Sahibus Samahah Dato' Haji Mohamad Shukri Bin Mohamad

🌸 Kenapa kerajaan bertukar? (Isu semasa)

🌸 Baca teks Jawi yang diberikan oleh panel

🌸 Mock teaching dengan cabaran pengurusan kelas (panel suruh calon anggap mereka sebagai pelajar kelas akhir, panel buat-buat mengantuk dan bermain, panel nak tahu cara calon uruskan sesi kelas dan pelajar).

🌸 Rukun Islam dan Rukun Iman (pastikan tidak tertukar urutan)

🌸 Kenapa JAKIM perlu pilih kita sebagai guru KAFA? Perlu jawab dengan yakin, kaitkan dengan pengalaman dan kelebihan yang ada bersesuaian dengan jawatan.

🌸 Sebut anggota badan dalam Bahasa Arab

🌸 Sebutkan anggota tayammum : Muka dan dua tangan hingga ke siku sahaja. Jangan lupa, kaki tak termasuk ya kawan-kawan.


    Konklusinya, apa yang perlu ditekankan untuk persediaan temuduga adalah, perkemaskan hukum Tajwid (jenis-jenis mad dan sebagainya) serta latihan perkenalkan diri (untuk membina 'first impression' yang baik di hadapan panel). Bagi calon dari bidang Pengajian Islam/Bahasa Arab, bersedialah dalam Bahasa Arab. Selain itu, perkemaskan juga ilmu-ilmu asas Aqidah seperti Rukun Islam, Rukun Iman dan perinciannya. Bagi bahagian Ibadah pula, Rukun Solat, Rukun tayammum dan hukum-hukum yang diketahui umum. 


    Sirah jarang-jarang ditanya, dikira bertuah la kalau dapat soalan Sirah 😬 Lagi satu, jangan lupa ambil tahu isu semasa terutamanya isu berkait dengan negara kita (isu-isu berkaitan agama, kes Covid-19, isu-isu kerajaan dan jangan lupa hafal nama-nama paling penting (saya dah tulis antara yang terpenting di atas sana). Jangan dilupa nama Yang Di-Pertuan Agong : YDPA Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah. Saya pun susah ingat semua, agak panjang kan.  


    Pesanan terakhir saya, jangan lupa banyakkan doa. Lepas habis temuduga, jangan lupa ucap terima kasih kepada panel dan pastikan  ambil kad pengenalan serta dokumen-dokumen kita tu ya. Jangan sampai tertinggal. Sekian sahaja perkongsian yang begitu panjang daripada saya. Terima kasih pada yang sudi membaca. Semoga bermanfaat 💕

    


"Hidden" Hantaran

  Assalamualaikum, rakan-rakan. Hari ini saya akan berkongsi tentang "hidden" hantaran. Masih ada yang tidak tahu, apa maksud ...