Pengikut

Selasa, 10 November 2020

PENGALAMAN MENCARI KERJA (Bahagian 1)



    Assalamualaikum, kawan-kawan 💗 Untuk hantaran kali ini, saya akan berkongsi pengalaman saya mencari kerja sebagai seorang graduan yang baru sahaja melepasi alam universiti. Sejujurnya, saya telah tamat belajar pada Januari 2019 tetapi kerana kekangan peribadi, saya baru mula gigih mencari pekerjaan pada bulan Oktober 2019 selepas berlalunya Majlis Konvokesyen saya yang berlangsung pada bulan yang sama.


Senarai jawatan terawal
yang saya mohon


    Sehingga ke hari ini, saya telah membuat 37 permohonan pekerjaan dan saya mendapat sepuluh panggilan temuduga daripada jumlah permohonan tersebut. Saya hanya berpeluang menghadiri tujuh sesi temuduga atas sebab kekangan kesihatan dan dua daripada panggilan temuduga tersebut saya dapat setelah saya mula bekerja di Syarikat Aulad Pintar Education Sdn. Bhd. 

    Pada awalnya, cara pencarian kerja saya agak kurang sistematik sehingga membuatkan saya tertekan. Jika dilihat dalam gambar senarai awal permohonan kerja saya seperti di atas, kelihatan seperti saya hanya memohon jawatan pegawai yang mana memerlukan banyak pengalaman bekerja. Sebelum ini, ada juga segelintir yang menganggap saya terlalu memilih kerja. Namun begitu, saya sebenarnya turut memohon untuk jawatan jurujual, pembantu kedai dan sebagainya. Malangnya, untuk jawatan-jawatan seperti itu saya langsung tidak dipanggil untuk ditemuduga.


    Daripada kesemua senarai permohonan saya, kebanyakan daripadanya adalah permohonan jawatan sebagai guru kerana saya memang meminati profesion perguruan. Daripada tujuh sesi temuduga saya, empat daripadanya untuk jawatan guru, dua sesi temuduga untuk jawatan admin dan satu untuk pembantu tadika


    Daripada jumlah temuduga yang saya hadiri pula, saya mendapat lima tawaran bekerja dan hanya dua jawatan yang saya terima iaitu sebagai guru di Sekolah Rendah Islam Integrasi Aulad Pintar (SRII AP) di bawah Aulad Pintar Education Sdn. Bhd. (Januari-Ogos) dan tawaran Guru KAFA (September-kini). 


    Untuk pengetahuan rakan-rakan, saya menolak tiga lagi tawaran jawatan dengan penuh rasa hormat dan rendah hati. Penolakan jawatan tersebut dibuat disebabkan tawaran tersebut datang setelah saya menerima tawaran pekerjaan lain.


    Itulah serba sedikit ringkasan tentang pekerjaan yang saya mohon. Untuk hantaran "Pengalaman Mencari Kerja Bahagian 2", saya akan kongsikan beberapa perkara yang saya tekankan untuk memastikan pencarian kerja saya lebih berkesan. 


   Sebelum menamatkan hantaran kali ini, saya ingin memanjatkan seinfiniti kesyukuran pada Sang khaliq atas kemurahan rezeki ini. Alhamdulillah. Terima kasih yang tak terhingga juga buat ummi abuya, adik-adik, ahli keluarga dan sahabat-sahabat saya yang banyak mendoakan dan memberikan dokongan padu. Tidak lupa kepada majikan Aulad Pintar Education Sdn. Bhd. atas peluang yang diberi meskipun saya masuk bekerja untuk pertama kalinya dengan pengalaman yang nihil. Tidak lupa juga rakan-rakan sekerja di SRII Aulad Pintar. Pengalaman ini adalah permulaan besar dalam hidup saya.


    Terima kasih atas kesudian rakan-rakan membaca hantaran ini. Jangan lupa baca Bahagian 2 yang lebih banyak input ya 😉 Semoga hantaran akan datang memberi manfaat kepada kawan-kawan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

"Hidden" Hantaran

  Assalamualaikum, rakan-rakan. Hari ini saya akan berkongsi tentang "hidden" hantaran. Masih ada yang tidak tahu, apa maksud ...