Assalamualaikum, berhabuk sudah blog saya ni. Inilah akibat kemalasan yang tidak dibendung 😩. Dalam hantaran saya sebelum ini, saya telah berkongsi cara memohon jawatan Guru KAFA. Untuk hari ini, saya akan berkongsi tentang pengalaman saya ditemuduga untuk jawatan Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA).
Sebelum segalanya, saya nak nyatakan kesyukuran pada Allah atas segala nikmat-Nya dan sekalung penghargaan buat majikan lama saya kerana telah membenarkan saya untuk menghadiri temuduga KAFA ini. Majikan saya, Pn. Hafizah selalu memberi peluang pada pekerja-pekerja beliau untuk memilih jalan terbaik untuk kerjaya masing-masing. Jom baca perkongsian saya. 😉
Seperti yang telah saya tulis sebelum ini, saya dijadualkan untuk ditemuduga pada 8 Mac 2020 sebelum PKP diumumkan. Sebelum saya mula bercerita pengalaman temuduga saya, saya nak kongsikan dokumen yang perlu dibawa cuma dokumen-dokumen asal sahaja iaitu :
1. Kad pengenalan
2. Sijil-sijil Pelajaran seperti Sijil PMR, SPM, STPM dan Sarjana Muda (jika ada)
3. Sijil-sijil Kokurikulum (bawa beberapa sahaja yang terbaik).
Salinan tidak perlu dibawa. Saya bawa juga resume kot-kot memudahkan panel penemuduga untuk tengok secara menyeluruh tentang pencapaian saya. Okay, saya terus pada ceritanya ya.
Pada hari tersebut, saya keluar awal sedikit daripada sekolah lama saya untuk sesi temuduga (telah mendapat keizinan boss lebih awal 😬). Dari sekolah sudah berpakaian lengkap berbaju kurung dan memakai kasut bertutup, jadi tiada masalah tentang pakaian. Semasa hari temuduga, saya perhatikan ada yang memakai tag nama. Rasanya nampak lebih kemas begitu. Saya tak pakai tag nama masa tu sebab belum ada. Baik, kita teruskan ya..
Temuduga saya diadakan di Institut Pendidikan Guru, Kampus Kota Bharu yang terletak di Pengkalan Chepa. Tiba di sana, kami calon temuduga ke meja urusetia dan menandatangani kehadiran. Selepas itu, kami diminta untuk duduk dan menunggu nama dipanggil. Setelah nama dipanggil, kami dimaklumkan untuk tunggu di hadapan bilik nombor berapa, saya dapat bilik nombor 3. Sesi temuduga dimulakan pada jam 2:30 petang tapi saya mula ditemuduga pada jam 4:30 petang dan tamat pada jam 4:55 petang. Saya calon terakhir yang ditemuduga untuk bilik nombor 3 sebab saya sampai ke sana sedikit lambat.
Oh ya, panel penumuduga ada dua orang dalam setiap bilik dan panel penumuduga untuk bilik nombor 3 kedua-duanya lelaki. Masuk sahaja ke bilik temuduga, saya diminta untuk meletakkan beg di tempat yang disediakan seterusnya saya menyerahkan dokumen-dokumen yang saya bawa. Setelah disuruh duduk, baru saya duduk di kerusi yang disediakan di hadapan panel-panel.
Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (Kredit : TutionJob University) |
Berikut adalah arahan dan soalan-soalan yang diberikan kepada saya :
📌 Saya diminta untuk taaruf (memperkenalkan diri) dalam Bahasa Arab sebab kursus pengajian saya Al-Quran dan Al-Hadith (Pengajian Islam). Kalau bidang kita bukan Pengajian Islam atau Bahasa Arab, selalunya taaruf hanya dalam Bahasa Melayu. Saya dah hafal siap-siap maklumat diri dalam Bahasa Arab seperti :
❤ Nama
❤ Umur
❤ Status perkahwinan
❤ Tempat tinggal
❤ Tempat belajar
❤ Tempat praktikal
❤ Pekerjaan
Lepas habis saya taaruf tu, panel tanya ada lagi ke yang nak dikongsi tentang diri awak? Saya jawab tak ada. Panel tanya pekerjaan ayah dan ibu serta bilangan adik beradik (Yang ni panel cakap jawab ja dalam Bahasa Melayu). Sebab dia boleh agakla tu saya menghafal untuk taaruf kang tak berjawab apabila ditanya secara mengejut 😂
Bahagian Al-Quran dan Tajwid
📌 Selepas taaruf, panel tanya tahu tak surah apa ibu kepada al-Quran? Haha rasa blur sangat masa ni, jawab Yaasin la, Al-Ikhlas la. Selalu dengar Yaasin dikatakan jantung al-Quran, Al-Ikhlas pula kalau dibaca tiga kali kan ibarat habiskan seluruh al-Quran. Tu la sebab jawab macamtu. Haha. lepastu panel pun cakapla takkan tak pernah dengar "Ummul Kitab"? Saya terus "haaaa. Al-Fatihah. Ummul kitab rupanya. Panel sampai tergelak katanya kalau bahasa Arab tahu pula, Bahasa Melayu ibu Quran tak tahu. Saya tahan malu sajalah. Lepastu panel suruh saya baca Surah al-Fatihah (yang ni arahan wajib, semua calon kena).
Lepas baca surah tu, panel minta saya keluarkan hukum-hukum tajwid yang ada dalam ayat (ghairil maghdhubi alaihim waladdhollin" daripada surah al-Fatihah. Antara yang saya jawab :
🌸 Ghairi, Alaihim : Mad Lin
🌸 Ghairi : Ra Tarqiq (dibaca nipis sebab berbaris bawah)
🌸 Al-maghdhubi : Alif Lam Qamariah
🌸 Alaihim wala : Izhar Syafawi (Mim mati bertemu huruf selain mim dan ba)
🌸 Addhollin : Alif Lam Syamsiyah,
🌸 Addhollin : Mad Lazim Kalmi Mutsaqqal (6 harakat)
📌 Kemudian, panel berikan kepada saya sekeping kertas yang tertulis fawatih al-suwar (pembuka surah-surah) : Antaranya Ha mim, Tho ha, Kaf ha ya ain sod dan banyak lagi. Panel suruh baca semua kalimah-kalimah tu dengan tajwid yang betul.
Selepas selesai baca semua, panel sebut kalimah yang ke berapa, saya diminta untuk sebut hukum kalimah tersebut. Hukumnya kalau fawatih al-suwar antara dua sahaja, sama ada mad lazim harfi mukhaffaf ataupun mad lazim harfi mutsaqqal (dan mad lazim memang dibaca enam harakat kecuali untuk huruf ha, tho, ra', ya dan alif - yang ni kita boleh tengok ja dalam al-Quran, kalau yang ada tanda mad tu enam harakat la untuk fawatih al-suwar, kalau tak ada tu maknanya dua harakat sahajalah bacaannya). Contoh, Tho ha, kedua-duanya dibaca dua harakat, tak ada yang dibaca enam harakat sebab termasuk huruf yang dikecualikan daripada baca enam harakat.
📌 Setelah itu, saya ditanya banyak mana surah yang dihafal? Saya jawab hafal surah-surah juz amma ja sikit-sikit. Haha tak berani nak sebut surah-surah panjang, masa ni berdebar sampai kalau disuruh baca al-mulk pun boleh lupa semua. Panel minta saya baca Surah At-Tin sahaja.
📌 Kemudian, panel tanya surah apa yang berjaya membuka hati Saidina Umar untuk memeluk agama Islam? Yang ni, saya betul-betul lupa. Panel yang bagi jawapan, Surah Thoha.
Bahagian Ibadah
📌 Setelah selesai bahagian al-Quran, panel minta saya buat 'mock teaching', saya kena jadi guru dan panel-panel bertindak sebagai murid-murid. Panel berikan tajuk untuk saya ajar : Rukun Solat.
Saya ke hadapan bilik dan berlakon seperti di dalam kelas. Saya sebut pembahagian rukun solat terbahagi kepada tiga : rukun qalbi (niat), fi'li (perbuatan) dan qauli (sebutan). Panel meminta saya menulis apa yang diajar pada papan putih (tulisan Jawi sangat digalakkan). Selepas itu, panel mula memberikan soalan bertubi-tubi bertujuan untuk mengelirukan kita. Antara soalannya :
🌸 Wudhu' rukun solat yang ke berapa? Jawapan : Wudhu' tak termasuk rukun solat, itu syarat sah solat.
🌸 Menghadap kiblat rukun solat qauli ke fi'li? Jawapan : Menghadap kiblat pun bukan rukun solat tetapi rukun sah solat.
🌸 Telekung dan kopiah rukun solat ke berapa? Jawapan : Bukan rukun solat. Salah satu syarat sah solat ialah menutup aurat, memakai telekung hanya sebagai wasilah menutup aurat. Kalau yakin pakaian dah tutup aurat. tak pakai telekung pun takpa.
🌸 Islam rukun solat qalbi ke? Jawapan : Rukun solat qalbi ialah niat. Islam ialah syarat wajib solat.
🌸 Apa rukun solat terakhir (yang ke-13)? Jawapan : Tertib. Yang ni saya lupa haha. Saya jawab memberi salam. Bnyak kali panel tanya pasti atau tak? saya tak pasti tapi dah tak tahu nak jawab apa, lupa jawapannya ialah tertib.
📌 Selepas itu, saya diminta duduk semula, panel bertanya : "ada beberapa silibus/pengajaran yang boleh membuatkan guru segan untuk terangkan tambahan lagi kepada pelajar-pelajar lelaki, ustazah sendiri macam mana?". Jawapan saya : Segan tu semestinya ada tetapi saya tahu tanggungjawab saya adalah untuk menjelaskan ilmu dengan terus terang, tepat dan cara paling mudah difahami. Saya pun berpengalaman mengajar tentang keluar air mani dalam bab hadas besar. Tidak dapat tidak, saya perlu terangkan macam mana rupa air mani, macam mana air mani keluar (waktu tidur dan sebagainya).
Bahagian Umum
📌 Kemudian, panel tanya tentang penglibatan aktiviti di universiti. Panel minta saya senaraikan semua persatuan yang saya sertai dan jawatan yang saya pegang di universiti.
📌 Panel tanya lagi, "awak tak rasa bersalah ke dengan orang-orang yang belajar sehingga tahap SPM dan PMR yang memohon KAFA? Awak dah dikira ambil rezeki orang ni sebab awak ada kelayakan yang lebih tinggi. Awak tambah persaingan untuk rakan-rakan awak yang lebih memerlukan padahal awak ada potensi untuk pergi lebih jauh.
Jawapan saya : Itu terpulang pada penilaian panel sama ada ingin menerima saya ataupun tidak bagi jawatan ini. Dalam isu mencari pekerjaan, tiada isu mengambil rezeki orang lain sebab semua orang memang sudah ditetapkan rezeki masing-masing. Saya sebagai pemohon, hanya mengambilkira minat, arah tuju dan jalan paling bersesuaian untuk saya sebagai saluran ke arah bidang pendidikan.
📌 Setelah itu, panel tanya apa lagi jawatan yang saya mohon? Saya sebut guru Yayasan Islam Kelantan (YIK). Panel tanya, yang mana satu akan dipilih sekiranya awak diterima untuk kedua-dua jawatan, guru KAFA dan guru YIK? Yang ini, saya jawab guru KAFA la, atas sebab peribadi saya.
Setelah habis semua soalan, salah seorang panel bagi saya pesanan, katanya :
"Jika ada peluang untuk pergi lebih jauh dan menapak lebih tinggi, kejarlah. Masyarakat perlukan kita yang berpendidikan dan berkemahiran dalam bidang masing-masing. Pergilah lebih jauh, berdakwahlah. Jangan disia-siakan peluang yang datang."
Terkedu juga saya, tapi pesanan tu tersemat dalam dada saya sehingga ke hari ini. Saya fikir masa tu saya dah takkan dapat jawatan guru KAFA ni sebab pesanan tu seolah-olahnya begitu. Alhamdulillah rezeki dapat juga. Saya, kak Sha dan Nuna diterima sebagai guru KAFA. Temuduga pada bulan Mac, keputusan lulus temuduga dikeluarkan di portal JAKIM pada hujung Julai, perjumpaan dibuat pada 27 Ogos dan kami bertiga menjadi guru KAFA secara rasmi pada 30 Ogos 2020.
Gambar kami bertiga semasa perjumpaan Guru-guru KAFA yang baru dilantik |
Maaf ya. penulisan saya kalini agak panjang. Ada lagi ni saya nak kongsi arahan dan soalan-soalan yang ditanyakan kepada kawan-kawan dan orang lain yang ditemuduga pada hari tersebut :
🌸 Disuruh baca surah al-fatihah serta makna bagi setiap ayat
🌸 Hukum tajwid bagi ayat pertama surah al-fatihah
🌸 Nama-nama penting yang wajib diingat, antaranya :
- Ketua Pengarah JAKIM : Allahyarham Dato' Paimuzi Bin Yahya (Allahyarham Dato' Paimuzi baru sahaja meninggal dunia pada 8 Oktober 2020 baru-baru ini. Kita sedekahkan al-Fatihah buat beliau. Kalau tak silap saya, masih belum ada lantikan baru setakat ini).
- Ketua Seksyen Pengurusan KAFA Kelantan : Pn. Siti Nor Jihan Binti Salleh @ Md. Ghazali
- Menteri Besar Kelantan : YAB Dato' Haji Ahmad Bin Yakob
- Perdana Menteri : YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin
- Mufti Kelantan : YB. Sahibus Samahah Dato' Haji Mohamad Shukri Bin Mohamad
🌸 Kenapa kerajaan bertukar? (Isu semasa)
🌸 Baca teks Jawi yang diberikan oleh panel
🌸 Mock teaching dengan cabaran pengurusan kelas (panel suruh calon anggap mereka sebagai pelajar kelas akhir, panel buat-buat mengantuk dan bermain, panel nak tahu cara calon uruskan sesi kelas dan pelajar).
🌸 Rukun Islam dan Rukun Iman (pastikan tidak tertukar urutan)
🌸 Kenapa JAKIM perlu pilih kita sebagai guru KAFA? Perlu jawab dengan yakin, kaitkan dengan pengalaman dan kelebihan yang ada bersesuaian dengan jawatan.
🌸 Sebut anggota badan dalam Bahasa Arab
🌸 Sebutkan anggota tayammum : Muka dan dua tangan hingga ke siku sahaja. Jangan lupa, kaki tak termasuk ya kawan-kawan.
Konklusinya, apa yang perlu ditekankan untuk persediaan temuduga adalah, perkemaskan hukum Tajwid (jenis-jenis mad dan sebagainya) serta latihan perkenalkan diri (untuk membina 'first impression' yang baik di hadapan panel). Bagi calon dari bidang Pengajian Islam/Bahasa Arab, bersedialah dalam Bahasa Arab. Selain itu, perkemaskan juga ilmu-ilmu asas Aqidah seperti Rukun Islam, Rukun Iman dan perinciannya. Bagi bahagian Ibadah pula, Rukun Solat, Rukun tayammum dan hukum-hukum yang diketahui umum.
Sirah jarang-jarang ditanya, dikira bertuah la kalau dapat soalan Sirah 😬 Lagi satu, jangan lupa ambil tahu isu semasa terutamanya isu berkait dengan negara kita (isu-isu berkaitan agama, kes Covid-19, isu-isu kerajaan dan jangan lupa hafal nama-nama paling penting (saya dah tulis antara yang terpenting di atas sana). Jangan dilupa nama Yang Di-Pertuan Agong : YDPA Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah. Saya pun susah ingat semua, agak panjang kan.
Pesanan terakhir saya, jangan lupa banyakkan doa. Lepas habis temuduga, jangan lupa ucap terima kasih kepada panel dan pastikan ambil kad pengenalan serta dokumen-dokumen kita tu ya. Jangan sampai tertinggal. Sekian sahaja perkongsian yang begitu panjang daripada saya. Terima kasih pada yang sudi membaca. Semoga bermanfaat 💕
Terbaik. Perkongsian yang jelas dan mudah difahami. Teruskan menulis. Jangan biar berhabuk lama-lama ya. Pada pandangan bilah, dia kata kalau ada peluang lain, kejarlah tu sebab dia nampak potensi yang ada yang boleh dimanfaatkan untuk circle yang lebih besar. Apapun, tahniah.
BalasPadamKbye.
Terima kasih banyak Bilah atas dokongan yang sangat mengharukan 💗 Semoga dalam jagaan-Nya sentiasa.
PadamAlhamdulillah.. Sekalung takziah dan taniah utk ustazah hafizah.. Perkongsian dan pengalaman yg sngt menarik . Kemas dan teliti. InsyaAllah adikmu snntiasa mendoakan mu berjaya dan diberkatiNya . Salam rindu buatMu kak fizah 😘
BalasPadamSiapakah gerangan adikku ini? Anis Aisyah kah? 🤠Maaf sangat kalau salah. Salam rindu juga buatmu adikku.
PadamAmaaaaazinggg..terrrbaikkk
BalasPadamHaha.. Terina kasih adikku sudi baca
Padam