Assalamualaikum, ini hantaran pertama saya yang agak panjang di blog. Hari ini, saya nak berkongsi cara untuk memohon jawatan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Kelantan. Saya kongsikan pengalaman saya saja. 😉 Saya merupakan salah seorang guru KAFA yang baru sahaja dilantik pada awal September 2020 yang lalu. Ini ceritanya :
Pada hujung tahun 2019, kawan rapat saya semasa di Universiti Malaya, Kak Sha ada ajak saya untuk hantar dokumen permohonan guru KAFA di Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu (PPD KB), lupa bulan berapa. Kalau tak silap memang ada iklan guru KAFA masa tu. Saya, Kak Sha dan Nuna (Nadhrah) hantar sama-sama dokumennya. Dokumen yang saya hantar ke PPD tu ialah :
- Yang paling penting, mestilah Borang Permohonan Guru KAFA yang telah diisi. Kawan-kawan boleh tekan pautan ini untuk memuat turun borang (cetak muka surat 1-4 je. Bahagian depan yang tak ada muka surat tu tak perlu dicetak) : http://www.islam.gov.my/images/documents/Iklan_Guru_KAFA_Kelantan_10_2019.pdf
- Salinan surat beranak yang disahkan
- Salinan kad pengenalan yang dah disahkan
- Salinan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah disahkan
- Salinan Sijil Ijazah Sarjana Muda yang telah disahkan
☝ Yang atas ni semua wajib ada. Sijil pendidikan tu ikut tahap kita la. Kalau ada sampai sijil sarjana, letak ja.
- Salinan sijil-sijil kegiatan luar : Salinan ini tak diwajibkan dan tak dihadkan berapa. Saya main letak ja yang saya rasa berkaitan dengan KAFA. Saya letak salinan sijil pertandingan al-Quran zaman sekolah, sijil ujian lisan Bahasa Arab, sijil sebagai jawatankuasa program zaman universiti, lagi satu salinan sijil UPKK, mentang-mentang untuk guru KAFA 😂 (dalam empat salinan sijil semua kalau tak silap). 👈 Salinan sijil-sijil ni semua pun perlu disahkan ya kalau nak letak. Oh, sebenarnya resume tak perlu letak, tapi saya letak juga alang-alang dah ada banyak resume yang dicetak.
Borang dan salinan dokumen ni semua saya pinkan, letak dalam sampul putih besar tu. Lepas tu, saya cetak alamat PPD Kota Bharu dan tampal pada bahagian kiri (atas) sampul surat. Seterusnya, saya hantar ke Unit KAFA, PPD Kota Bharu. Kalau untuk negeri lain, saya tak pasti juga sama atau tidak dokumen yang diminta ni. Cara penghantaran pun saya kurang pasti.
Oh ya, untuk pengetahuan kawan-kawan, kalau kita tinggal di Kota Bharu, lebih baik kita hantar borang di PPD Kota Bharu sahaja kalau kita nak dihantar ke sekolah yang tidak jauh dari rumah. Seandainya kita hantar borang ke daerah-daerah lain juga, borang kita akan bertindan. Jadi, ada kemungkinan kita akan dihantar ke daerah lain walaupun kita tinggal di Kota Bharu.
Bila dah dapat surat tawaran, sebarang permohonan tukar sekolah tidak akan dilayan. Jadi, kalau tidak sanggup berulang-alik ke daerah lain, hantar ke PPD daerah masing-masing sahaja. Kita memudahkan diri dan pihak pengurusan KAFA.
Okay sambung cerita, selepas menghantar borang, saya dapat makluman ada yang dah dipanggil untuk temuduga. Saya, kak Sha dan Nuna tak dapat apa-apa panggilan. Jadinya, kami meneruskan rutin biasa. Alhamdulillah, waktu itu Nuna mengajar di Taska, Kak Sha mengajar di PASTI, saya pula mengajar di sekolah rendah swasta. Kami ada kerjaya masing-masing dan melalui hari-hari kami seperti biasa tanpa sebarang pengharapan lagi.
Tiba-tiba, pada 4 Mac 2020, bekas rakan sekerja saya berkongsi surat makluman temuduga guru KAFA. Katanya, nama saya tersenarai dalam tu untuk temuduga Guru KAFA siri 3 bagi sesi 2020. Alhamdulillah, nama Kak Sha dan Nuna pun turut tersenarai.
|
Surat Temuduga Guru KAFA |
'
Tarikh temuduga saya dijadualkan pada 8 Mac, jam 2:00 petang. Kak Sha dan Nuna dapat tarikh dan waktu berlainan. Tapi, Kak Sha dan Nuna banyak berkongsi soalan-soalan yang pernah ditanya kepada rakan-rakan yang pernah ditemuduga. Kami sama-sama berkongsi maklumat dan hasil bacaan sebagai persediaan. Saya akan berkongsi pula pengalaman saya ditemuduga dalam hantaran yang akan datang. Terima kasih sudi membaca. Semoga apa yang saya kongsi sedikit sebanyak membantu kawan-kawan.
Salam Jumaat 💕
sambung la lagi..hehe
BalasPadamTerima kasih Nuna.. Sentiasa jadi pendokong terbaik 😍
PadamPerkongsian yg menarik..nnti smbg lagi.
BalasPadamTerima kasih banyak sudi membaca ⚘ Semoga bermanfaat.
Padam