Pengikut

Jumaat, 25 Disember 2020

TIPS SELEPAS TEMUDUGA

 

Kredit : seek.com.au


Assalamualaikum semua. 💗 Kita jumpa lagi di sini untuk hantaran berkaitan temuduga. Kali ini, saya akan berkongsi tentang "Apa yang perlu dibuat selepas temuduga". Eh, lepas temuduga ada kena buat apa-apa lagi ke? 😮 Mestilah ada walaupun sikit ja.




1 ✒ Hantar emel ucapan terima kasih/emel susulan. 


Setelah beberapa hari berlalu sesi temuduga kita, hantarlah emel/surat rasmi ucapan terima kasih kepada penemuduga (jika ada maklumat mereka, 'business card' dan sebagainya.). Jika tidak, hanya hantar emel/surat kepada pihak yang memberi makluman untuk temuduga kita. 


Jika kita ingin menghantar emel/surat lebih seminggu daripada tarikh temuduga, kita boleh terus tanya tentang status/jawapan daripada temuduga tersebut. 


Berikut saya kongsikan contoh surat ucapan terima kasih selepas temuduga yang pernah saya hantar. Memandangkan saya mendapat makluman temuduga melalui mesej "WhatsApp", saya menghantar surat ini melalui aplikasi "WhatsApp" juga.👇




Lebih kemas jika kita sertakan alamat dan sebagainya supaya surat tersebut menepati format surat rasmi (saya tak berfikir panjang masa hantar mesej ini). Surat di atas ini hanya surat ucapan terima kasih yang saya hantar selepas beberapa hari temuduga berlalu. Kalau nak tanya tentang susulan keputusan temuduga, buang bahagian "Saya ingin merakamkan ucapan kemaafan..." sampai habis tu, tukar kepada ayat :


" Berkenaan sesi temuduga tempoh hari, saya ingin mendapatkan kepastian sama ada saya diterima ataupun tidak untuk jawatan tersebut. Jika keputusan masih dalam pertimbangan, saya sekali lagi ingin menyatakan hasrat untuk bekerja di syarikat tuan/puan sebagai ....... ". Akhiri dengan sekian, terima kasih seperti biasa.




2 ✒ Teruskan berdoa.


Seperti yang saya pernah cerita sebelum ini, saya suka amalkan doa yang selalu disebut sebagai doa makan tu sebab doa itu lebih kepada doa untuk keberkatan rezeki. In syaAllah, murah rezeki kita dapat jawatan/pekerjaan yang layak untuk kita. Banyakkan doa dan pergantungan pada Allah.




3 ✒ Buat surat rasmi mohon maaf.


Eh, kenapa pula nak minta maaf? Surat ini hanya perlu sekiranya kita terpaksa menolak tawaran bekerja setelah diterima untuk jawatan yang kita pernah mohon atas sebab-sebab tertentu. 


Walaupun kini kita menolak tawaran bekerja di syarikat itu, ada kemungkinan kita akan memohon semula kerja di syarikat yang sama pada masa hadapan. Jika kita menghantar surat ini, pihak syarikat akan melihat kita sebagai orang yang bertanggungjawab dan tiada masalah untuk menerima kita lagi pada masa akan datang.


Di bawah adalah contoh surat permohonan maaf yang pernah saya hantar :







Masa ni tak jangka pun puan penemuduga tu akan balas mesej saya, tak sangka sangat. Terharu 😭 Alhamdulillah. Puas hati sebab kita bertanggungjawab hingga ke akhirnya walaupun kita tidak bekerja di syarikat tersebut.




4 ✒ Teruskan usaha, jangan putus asa. 


Sekiranya kita tidak mendapat tawaran bekerja di syarikat-syarikat yang telah kita hadiri temuduga, jangan pernah berputus asa. Jika kita memang meminati posisi kerja itu, ada saja peluang, cuba mohon lagi dan lagi. 


Buat refleksi diri setiap kali hadiri temuduga, perhatikan mana yang perlu kita ubah dan baiki. Minta pandangan kawan-kawan dan keluarga. Mencari kerja yang kita inginkan tidak mudah.



___________________________________________ 💕



Saya doakan kita semua dimurahkan rezeki dan mencapai apa yang terbaik untuk diri masing-masing. Aamiin. Terima kasih sudi membaca. Semoga bermanfaat untuk sahabat-sahabat. 



💗 Baca juga hantaran berkaitan di sini : 




10 TIPS SEMASA TEMUDUGA

 

Kredit : all-free-download.com


Assalamualaikum kawan-kawan semua. 💕 Haiii, lama tak jumpa.


Pada hari ini, saya akan berkongsi beberapa "Tips Semasa Temuduga". Semoga bermanfaat.




1 ✒ Matikan telefon bimbit.


Sebelum masuk ke bilik temuduga, matikan telefon bimbit atau senyapkan (mute). Jangan sampai telefon kita berbunyi sama ada panggilan/mesej masuk ataupun loceng (alarm) berbunyi. 


Kalau untuk temuduga penjual/admin kedai telefon, tak perlu matikan telefon. Mute sahaja sebab selalunya penemuduga akan minta kita promosikan telefon kita sendiri. Nanti nak mempromosi, kita boleh tunjuk fitur kamera dan sebagainya.




2 ✒Pastikan arahan yang tepat untuk sesi temuduga.


Sampai sahaja di tempat temuduga, ambil cakna pada setiap arahan yang diberikan oleh pihak syarikat. Pastikan tempat pendaftaran, di mana ruang menunggu yang betul dan apa tanda anda dipanggil masuk ke bilik temuduga. 


Ada sesi temuduga yang menggunakan loceng sebagai tanda giliran calon telah tiba. Tumpukan perhatian pada setiap arahan untuk mengelakkan 'mood' penemuduga terganggu ya.



Kredit : eratuku.com




3 ✒ Tunggu arahan daripada penemuduga sebelum bertindak.


Apabila tiba giliran kita untuk ditemuduga, sebelum masuk, ketuk pintu dan beri salam dulu. Kemudian, perhatikan dan dengar baik-baik arahan dari dalam bilik temuduga. Apabila disuruh masuk, barulah masuk. 


Apabila disuruh duduk, barulah duduk. Tetapi, jika penemuduga tidak menyuruh kita duduk walaupun telah masuk beberapa minit, kita boleh bertanya, "Maaf tuan/puan. Boleh saya duduk?". Tanya dengan sopan.




4 ✒ Jaga postur tubuh.


Masa mula-mula masuk lagi, jaga postur tubuh kita ketika berjalan. Jangan terlebih menunduk sebab nak tunjuk kita tak meninggi diri dan jangan sampai terlebih mengangkat kepala serta melebarkan dada, takut dilihat terlebih yakin diri. Bersederhana sahaja.


Semasa duduk, tegakkan bahu. Elakkan menyilang kaki. Selalunya penemuduga meletakkan kerusi kita jauh sedikit daripada tempat duduk mereka supaya dapat memerhatikan kita dari kepala hingga ke kaki. Kaki kita tu jangan tergedik-gedik. Kena berlatih depan cermin di rumah sebelum temuduga lagi ya.






5 ✒ Jaga "eye contact".


Jangan sampai penemuduga fikir kita mengelak daripada bertembung mata dengan mereka. Kalau memang tak boleh pandang mata penemuduga sebab segan dan sebagainya, pandang pada dahi/hidung/mulut penemuduga. Penemuduga nampak usaha kita untuk tidak melarikan mata daripada mereka.




6 ✒ Berhati-hati menjawab soalan.


Jangan cepat-cepat nak jawab soalan. Walaupun kita dah sangat bersedia untuk sebarang soalan, pastikan penemuduga habiskan dulu soalan, tunggu beberapa saat dan baru berikan jawapan. Jangan terlebih yakin ya sebab kadang-kadang soalan yang nak ditanya berbeza daripada apa yang kita jangka.




7 ✒ Bercakap yang baik-baik sahaja tentang syarikat atau rakan sekerja lama.


Seperti dalam hantaran saya yang lalu, saya dah jelaskan, kita tidak boleh sekali-kali memburukkan syarikat atau rakan sekerja lama walaupun hakikatnya lebih banyak yang buruk daripada baik. Jika tidak, penemuduga akan melihat kita sebagai seorang yang suka menyalahkan orang lain dan memburuk-burukkan pihak lain.


Kredit : eratuku.com




8 ✒ Bahasakan diri sendiri dan penemuduga dengan baik.


Seperti biasa, bahasakan diri sebagai "saya" untuk diri sendiri. Sesetengah calon tidak mengambil berat isu panggilan terhadap penemuduga sedangkan ini kritikal. Bercakap dengan membahasakan diri "saya dan awak" dengan penemuduga merupakan antara sebab utama calon ditolak. Bahasakan penemuduga dengan panggilan tuan/puan ya.




9 ✒ Pastikan ada soalan untuk ditanya kepada penemuduga.


Kalau ditanya ada soalan atau tidak pada penghujung sesi temuduga, elakkan jawab "tiada", pastikan tanya minimum satu soalan dan maksimum tiga soalan. Saya telah kongsikan contoh-contoh soalan yang boleh ditanya pada hantaran lepas.






10 ✒ Ucapkan terima kasih selepas tamat sesi temuduga.


Ringankan mulut untuk ucapkan terima kasih ya sebelum keluar daripada bilik temuduga. In sya Allah, penemuduga pun sejuk hati dengan kesopanan kita dari mula kita masuk, sewaktu sesi temuduga sehinggalah kita melangkah kaki keluar dari bilik temuduga.




Itu sahaja beberapa tips yang saya mampu kongsikan. Diharapkan rakan-rakan mendapat manfaat daripadanya. Terima kasih sudi membaca. 😉 



💗 Baca juga hantaran berkaitan di sini :



Khamis, 3 Disember 2020

TIPS SEBELUM TEMUDUGA (Bahagian 2)

 

Kredit : medium.com

Assalamualaikum dan hai semua. 😇 Saya akan sambung penulisan saya berkaitan "Tips Sebelum Temuduga" untuk hantaran kali ini.



6 ✒ Rancang perjalanan ke tempat temuduga. 


Pastikan kita tahu tempoh perjalanan (berapa minit/jam) dan cuba pergi dahulu ke lokasi tersebut sebelum hari temuduga untuk mengelakkan daripada lambat dan tersesat pada hari temuduga. 


Rancang perjalanan untuk tiba di tempat temuduga sekurang-kurangnya 15 minit sebelum sesi temuduga bermula supaya tidak mengganggu "mood" kita.  


"Be early. On time is considered late"



7 ✒ Bersedia untuk sebarang pembentangan.


Mungkin tidak banyak temuduga yang memerlukan pembentangan tetapi beberapa temuduga memang wajib ada pembentangan terutamanya untuk temuduga guru. 


Calon temuduga guru selalunya diarahkan untuk membuat "mock teaching" (bersedia dengan sebarang tajuk mudah jika tidak diberi tajuk khusus). Untuk temuduga jurujual pula, selalunya kita akan diminta untuk cuba mempromosikan barang berkaitan syarikat tersebut. 


Kredit : thevocket.com

Jadi, pelajari tentang produk-produk, isu atau permasalahan berkaitan syarikat tu penting. Saya pernah menyertai temuduga 'admin' untuk syarikat jualan telefon. Sebelum temuduga, saya "study" tentang telefon saya sendiri sahaja. Saya fokuskan berkenaan harga pasaran, RAM, memori internal, jumlah kamera, kapasiti bateri, daya tahan bateri yang bagus (berapa lama masa diambil untuk bateri habis - mengikut kajian), USB Type-C , "fast charging" (sebut berapa lama cas berbanding telefon lain).



8 ✒ Sediakan barang yang perlu dibawa semasa temuduga.


💗 Paling kurang dua batang pen (kot-kot yang sebatang tu tiba-tiba habis dakwat).

💗 Kalau untuk jawatan yang melibatkan kemahiran, pastikan bawa hasil projek yang pernah dibuat sebagai contoh untuk jawatan "designer" (web/poster dll).

💗Jika perlu membentang/mock teaching (untuk guru), bawa alatan berkaitan. Jangan lupa masukkan senarai ni dalam "checklist" temuduga kita ya. Takut tertinggal semasa hari temuduga. Contoh : 

  • Kertas/ kertas memo
  • Pelekat serba guna
  • 'Marker'
  • Nota cantik yang pernah kita sediakan




Kredit : kerjakini.com


9 ✒ Menyediakan pakaian untuk sesi temuduga.

Gosok siap-siap sebelum hari temuduga pakaian yang akan dipakai nanti. kasut pun lap bersih ya. Berikut pakaian wajib :


Lelaki : 

  • Berkemeja (warna cerah dan tidak bercorak)
  • Bertali leher formal
  • Bersut (Tidak wajib tetapi sangat digalakkan dan pastikan saiz sesuai)
  • Seluar berwarna gelap (sebaiknya hitam)
  • Kasut bertutup dan stoking berwarna gelap (sebaiknya hitam)
  • Jam sebagai aksesori (warna gelap)
  • Pakai tag nama (jika rasa perlu - temuduga guru)


Perempuan :

  • Gaya tudung jangan unik, pelik dan terjuntai-juntai
  • Berbaju kurung (jangan melebihi tiga warna, jangan ketat dan lebih baik jika "plain")
  • Kasut bertutup (sebaiknya hitam) dan berstokin (berwarna kulit).
  • Akesori jangan banyak sangat (cukup jam tangan dan cincin sahaja)
  • Pakai tag nama (jika rasa perlu)


✔ Tambahan : 

  • Pastikan pakaian bersih dan kemas
  • Pastikan kuku pendek dan bersih (jangan berwarna-warna)
  • Pastikan badan tidak berbau (pakai 'deodorant')
  • Untuk lelaki, rambut jangan serabai.
  • Untuk wanita, solekan jangan tebal sangat ya



10 ✒ Banyakkan doa dan selawat sebelum masuk ke bilik temuduga.


Saya selalunya amalkan bacaan ni untuk hilangkan gemuruh saya selain daripada berselawat


Kredit : quran-hd.com

Maksudnya : "Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami". (Al-Kahfi : 10)



Selain itu, saya juga mengulang baca doa ini :

Kredit : freepikpsd.com

Maksudnya : "Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada kami dalam apa yang telah Engkau rezkikan untuk kami dan peliharalah kami daripada seksa api neraka".


Eh, tapi kan ini doa makan? Sebenarnya boleh sahaja kita baca doa ini bila-bila masa. Doa ini tidak semestinya dikhususkan untuk makan sahaja. Mengikut sunnah, untuk makan memadai dengan bacaan basmalah sahaja. 😉 Wallahu a'lam.



Alhamdulillah, tamat juga perkongsian saya berkenaan "Tips Sebelum Temuduga". Semoga bermanfaat ya kawan-kawan. 💕



💗 Baca juga hantaran berkaitan di sini :



Rabu, 2 Disember 2020

25 SOALAN TEMUDUGA YANG BIASA DITANYA

 

Kredit : eratuku.com


Assalamualaikum rakan-rakan semua. 😊 Hari ini, saya akan senaraikan beberapa soalan yang biasa ditanya semasa sesi temuduga. 




1 ✒ Jarak dari rumah dan kenderaan ke tempat kerja?

Jika anda belum ada kenderaan sendiri, anda boleh jujur (rumah anda dekat, abang/ayah kerja berdekatan dan boleh hantarkan). Saya dulu cakap saya boleh jalan ja (sebab dekat sangat dengan syarikat tu).




2 ✒ Kenapa nak kerja di syarikat ini?

Boleh kaitkan minat anda dengan bidang syarikat. Sebagai contoh untuk temuduga guru swasta : "Saya sangat meminati bidang pendidikan dan saya dapati sekolah ini sangat menekankan pendidikan abad ke-21 yang mana sangat menarik minat saya. Saya suka belajar dan mencari pengalaman dalam pendidikan era baharu."




Kredit : vecteezy.com

✒ Apa yang dibuat semasa menganggur?

Yang ni jangan jawab kita rehat-rehat sahaja sepanjang menganggur tu kalaupun kita memang lagi banyak rehat. 

Boleh cakap : "Saya memohon kerja-kerja kosong sambil membantu keluarga di rumah dan di kedai ayah (jika ada)/ sambil saya mengambil masa untuk mengajar adik-adik saya yang masih bersekolah memandangkan adik-adik saya tidak ke mana-mana pusat tuisyen (kalau tak ada adik, janganla) 😶".




4 ✒ Anda tidak berpengalaman bekerja dalam bidang ini, kenapa anda ingin bertukar ke bidang ini?

Jika tidak pernah bekerja dalam bidang tersebut, sebagai contoh anda dari bidang Pengajian Islam tetapi memohon jawatan dalam bidang jualan, anda boleh jawab : 

"Saya suka berinteraksi dengan orang ramai dan bidang jualan ini membolehkan saya untuk mengenali lebih ramai orang malah dapat belajar banyak benda lagi. Lagipun, zaman belajar dulu, saya banyak terlibat dengan program-program kemasyarakatan yang melibatkan orang ramai. Untuk jualan, mungkin bidangnya sedikit berbeza tetapi saya berminat untuk belajar."




5 ✒ Apa peranan anda di tempat kerja terdahulu ? (jika ada pengalaman)

Kalau banyak sangat, senaraikan peranan yang melibatkan jawatan yang ingin dimohon sahaja. (tambah ayat : cuma saya juga pernah menawarkan diri/melaksanakan beberapa skop kerja lagi memandangkan saya nak mengumpul sebanyak pengalaman yang boleh). 

Kalau majikan berminat, dia akan tanya la perinciannya, apa lagi skop-skop tu, haa bila ditanya baru cerita.




Kredit : ilmuwithmaman.blogspot.com

6 ✒ Apa cabaran yang anda hadapi di tempat kerja sebelum ini?

Walaupun majikan tak tanya "bagaimana cara anda menanganinya?", terus sebut ja, apa cabaran dan setiap cabaran tu bagaimana anda uruskan (senaraikan 2 atau 3 sahaja). Contoh untuk guru:

"Sebelum ini, anak-anak murid saya agak sukar untuk menerima arahan dan selalu bising dalam kelas."

"Jadi, saya mula menyediakan sistem merit dan jelaskan pada murid-murid, siapa yang dapat banyak bintang (jaga perangai, siapkan tugasan), cikgu bagi hadiah. Saya berpandangan bahawa anak-anak pada zaman ini sukar menerima denda fizikal, jadi saya bagi denda psikologi tetapi tidak memalukan. Mereka akan terkesan jika rakan-rakan dapat dan mereka tidak dapat. jadi, mereka akan baiki diri dan alhamdulillah kaedah tu berkesan."




7 ✒ Kenapa anda ingin bertukar tempat kerja/berhenti/dipecat daripada syarikat lama?

Kalau berhenti kerana suasana toksik, jangan jujur sangat. Boleh sebut : "Selagi berpeluang, saya ingin mencari sebanyak pengalaman yang boleh dalam bidang ini. Syarikat berbeza, cara kerja dan pelaksanaan kerja mungkin juga berbeza"

Kalau dipecat (jarang sekali berlaku), jujur sahaja. Boleh jawab macamni : "Saya ada membuat kesalahan ketika saya menyiapkan ............ dan kesalahan itu menyebabkan sedikit kerugian kepada syarikat. Saya sedikit terlambat sedar, tetapi saya dah jumpa cara menangani masalah tersebut, sepatutnya saya buat .....................  Jika diberi peluang untuk perbaikinya, saya akan buat yang terbaik."




8 ✒ Apa yang anda tahu tentang syarikat?

Yang ni saya dah ada jelaskan apa yang perlu diketahui tentang syarikat dalam hantaran saya sebelum ini di sini : 






Kredit : lernify.com

9 ✒ Bagaimana cara anda menangani tekanan kerja?

Jujur sahaja, antaranya dengan meluangkan masa terluang dengan hobi (lebih baik jika hobi kita bersesuaian dengan bidang kerja kita). 

Boleh cuba jawab macamni : "Lain orang lain cara tangani tekanan kan, untuk saya sendiri, saya jenis yang tidak mudah stress, kalau stress pun kejap je. Ada masa terluang, saya akan melukis. Kadang-kadang lukisan-lukisan saya tu saya olah menjadi latar belakang untuk buat nota murid-murid saya." (sambil menyelam minum air).




10 ✒ Apa minat/hobi/subjek yang diminati anda?

Sebolehnya sebut hobi/minat yang berkaitan dengan kerja. Contoh : "saya suka mendengar lagu. Ada masanya, saya cuba menggunakan lagu sebagai salah satu teknik pengajaran saya." 

"Contoh : saya meminta murid-murid untuk memilih perkataan-perkataan yang tidak difahami daripada lagu Bahasa Inggeris dan mencari maksudnya daripada kamus". Cuba olah dan kaitkan dengan kerja kita (kalau boleh).




11 ✒ Berapa gaji yang anda nak/ 'expected salary"?

Kena cuba 'search' gaji yang sesuai dengan bidang kerja kita, tambahan lagi jika kita masih "fresh graduate", takut berlebihan ekspektasi kita. Saya pernah dengar orang jawab macamni :

"'Expected salary" saya cuma mengikut gaji minimum yang ditetapkan kerajaan memandangkan saya masih terlalu baru dalam bidang ini".





Kredit : Maukerja.my

12 ✒ Apa kemahiran/pengetahuan yang perlu ada untuk memegang jawatan ini?

Kena banyak "study" bidang berkaitan jawatan yang dimohon lah ya.




13 ✒ Anda memohon kerja di syarikat mana lagi dan jika anda dipilih untuk kedua-dua syarikat, yang mana anda pilih?

Tak bagi perincian pun takpa kecuali jika ditanya nama syarikat. Jawab begini saja :

"Saya ada memohon jawatan di beberapa tempat lagi yang menawarkan jawatan guru cuma saya paling berminat dengan sekolah ini kerana memberi penekanan kepada kaedah pengajaran terkini.". Hurai sajalah. Seboleh mungkin, cari hujah untuk puji dan cakap syarikat ini yang terbaik.




14 ✒ Apa perancangan masa depan jangka pendek dan jangka panjang?

Ambil visi dan misi syarikat, cuba sesuaikan dengan minat dan misi anda serta jelaskan sedikit caranya. 

Contoh : "Saya ingin menjadi guru yang mahir dalam mengaplikasikan kaedah pembelajaran abad ke 21 dalam masa 5 hingga 10 tahun lagi. Sekarang, saya sedang belajar untuk menyediakan video animasi sendiri untuk nota-nota pembelajaran murid-murid saya. Dalam jangka masa beberapa tahun lagi, saya merancang untuk mewujudkan "channel" saya sendiri di Youtube dan Telegram untuk bahan-bahan bantu mengajar yang saya reka sendiri."





Kredit : exrush.com

15 ✒ Apa kelebihan dan kekurangan anda?

Kelebihan ni sedikit mudah la sebenarnya sebab kita boleh goreng tentang : "komitmen tinggi, suka belajar benda baru, "fast learner", pandai bergerak dalam pasukan, buat kerja tersusun dan sebagainya". Lepas sebut isi tu, huraila buktinya sekali daripada pengalaman zaman belajar atau praktikal dulu kalau belum pernah bekerja sebelumnya.

Untuk kekurangan, kena sangat hati-hati. Sebut kekurangan, kena ada cara perbaikinya sekali. Contoh paling mudah :

  • Kekurangan : Belum pernah ada pengalaman bekerja di bidang ini. Cara tanganitetapi saya suka belajar benda baru dan saya agak cepat belajar contohnya ....... (selit dengan kelebihan dan huraian).
  • Kekurangan : Sedikit pelupa. Cara tangani : Setiap kali saya dapat tugasan atau sebarang arahan, saya terbiasa membuat nota dan menyediakan "To-do-list" untuk memastikan tiada tugasan yang saya tertinggal. Saya juga akan cuba menyiapkan kerja secepat mungkin sebelum saya terlupa.




Kredit : gambardidunia.blospot.com

16 ✒ Kenapa kami patut pilih anda bekerja di syarikat ini?

Yang ni, ambik je daripada senarai kelebihan yang anda dah senaraikan. Contoh :

"Saya merasakan saya layak dipilih kerana saya seorang yang boleh bekerja di bawah tekanan. Semasa di universiti, saya pernah diminta oleh pensyarah untuk menyediakan  ............... bagi program terdekat di waktu-waktu akhir dan alhamdulillah saya berjaya menyelesaikannya dengan baik".




17 ✒ Adakah anda okay jika anda akan ditempatkan di cawangan syarikat yang lain?

Yang ni jujur sahaja mengikut kemampuan ya. 





18 ✒ Anda boleh bekerja lebih masa?

Ini pun jujurlah. Mungkin boleh jawab : "Saya seorang yang sentiasa berusaha menyelesaikan tugasan mengikut waktu tetapi jika perlu, saya boleh bekerja lebih masa." 😬




19 ✒ Anda tahu/kenal tak kawasan/daerah-daerah di negeri sekian-sekian?

☝Jika kerja anda melibatkan kerja-kerja penghantaran dan pemantauan kawasan.





Kredit : blog.engrip.com

20 ✒ Apa yang boleh anda kongsi tentang "Final Year Project (FYP)" anda?

Jika kerja melibatkan "research", ulangkaji lah FYP anda ya terutamanya yang melibatkan hasil kajian dan cadangan penambahbaikan.





21 ✒ Jika ada rakan sekerja anda yang sangat bermasalah, bagaimana cara anda menguruskannya?


"Jika dia bermasalah dari sudut kurang komitmen dan tidak menyelesaikan tugasan pada waktu yang ditetapkan berkali-kali walaupun setelah ditegur.. Setakat kemampuan saya, saya akan mencadangkan kepada pihak atasan untuk membuat sistem baru."

"Contoh : Setiap pekerja perlu mengemaskini maklumat penghantaran tugasan dalam "drive"/sistem syarikat (perlu dikepilkan bersama bukti) pada masa yang ditetapkan. Jika tidak, pekerja akan dipotong merit dan seandainya merit kurang daripada 50, bonus tahunan akan dipotong sebanyak 5% ke atas mengikut kesalahan.





22 ✒ Jika ada rakan dalam 'team' yang sama 'down', macam mana anda nak bantu dia?

"Saya akan dekati dia dan kenal pasti masalahnya dulu. Kemudian, jika masalahnya kerana kurang tahu, saya akan bantu dengan cara mengajar. Jika masalahnya kerana masalah lain, ada yang saya fikir perlu utarakan kepada pihak atasan untuk bantuan, maka saya akan buat. Pelbagai masalah yang mungkin ada, tapi bantuan paling kecil yang boleh saya buat adalah menjadi pendengar dan pemberi cadangan."




Kredit : elite.org.my

23 ✒ Bagaimana cara anda atasi masalah apabila memegang jawatan ini nanti?

Jika berkaitan guru, mungkin soalannya begini : "Kebanyakan murid bosan untuk belajar tentang sirah, bagaimana cara anda untuk menarik minat murid-murid?". 

Contoh jawapan : "Saya akan membuat aktiviti dalam bentuk permainan untuk memastikan murid-murid menumpukan perhatian dan mengingatinya." Senaraikan contoh permainan.



24 ✒ Apa isu semasa yang anda tahu berkaitan bidang syarikat?

Jika untuk jawatan guru, ambil tahu isu-isu berkaitan pendidikan abad ke-21, cabaran pembelajaran pada musim Covid dan sebagainya. 

Kalau melibatkan kerja yang ada keperluan untuk data, ambil tahu tentang Revolusi Industri 4.0

Ambil tahu isu-isu semasa yang umum ya. 




Kredit : Facebook Koleksi Soalan

25 ✒ Ada apa-apa soalan tak untuk ditanya kepada kami?

Yang ni akan ditanya di hujung sesi temuduga. Jangan jawab macamni : "Saya tiada soalan". Pastikan senaraikan paling kurang 5 soalan yang anda nak tanya majikan, contohnya :

  • Apakah perincian skop kerja jawatan ini?
  • Apakah bantuan yang akan diberikan oleh syarikat untuk memastikan pekerja dapat mencapai target?
  • Boleh saya tahu bagaimana budaya kerja di syarikat ini?
  • Adakah syarikat ini ada menyediakan latihan atau sebarang kursus untuk memastikan pekerja sentiasa belajar bagi meningkatkan potensi diri?
  • Bagaimana cara pihak tuan memberikan makluman bagi calon-calon yang diterima bekerja di sini?

Tapi janganlah tanya semua ya. Nanti majikan serabut pulak haha. Cukup satu/dua je lah. Senarai banyak-banyak tu kot-kot soalan-soalan kita dah diambil orang terlebih dulu kan.




Sekian sahaja coretan panjang saya hari ini. Semoga bermanfaat. 🌹




💗 Baca juga hantaran berkaitan di sini :

Selasa, 1 Disember 2020

CARA SUSUNAN DOKUMEN PENTING UNTUK TEMUDUGA

 


Kredit : ubuy.com.my


Assalamualaikum semua. 😉 Hari ini, saya akan kongsikan dokumen-dokumen penting dan cara susunan fail untuk temuduga.



Yang pertama, sebaiknya kita sediakan senarai semak (checklist). Kalau untuk temuduga kerja kerajaan, selalunya dah disediakan senarai semak ni oleh pihak yang memberi makluman temuduga.



Seterusnya, untuk bawa semasa sesi temuduga, kita perlu sediakan fail khas (fail 'clear folder'). Sebaiknya pilih fail berwarna hitam. Pada bahagian tepi fail tu, tampal nama penuh dan nombor kad pengenalan (tak kisah yang bertaip atau bertulis tangan, asalkan nampak kemas). Contohnya begini :


Ini contoh fail saya


Cuma, biasanya untuk kawan-kawan yang hadir ke temuduga SPP dan SPA, saya perhatikan mereka siap tampal nama, nombor kad pengenalan, nama jawatan yang dipohon dan siap letak gambar sekali kat tengah-tengah muka depan fail tu. 



Terpulang pada kawan-kawan la ya yang mana lagi kelihatan kemas. Apa yang saya kongsi ni boleh digunakan untuk temuduga swasta tapi tidaklah banyak perbezaan dengan temuduga kerajaan.



Sebelum masuk bab susunan, saya nak ingatkan, lebih baik kita buat paling kurang lima salinan dokumen penting dan dapatkan pengesahan awal-awal lagi tau (sebelum memohon jawatan kosong).  



Kawan-kawan boleh susun dokumen penting mengikut turutan seperti berikut :


Maklumat Temuduga (tak wajib pun)

Maklumat Diri

  • Resume
  • Kad Pengenalan
  • Sijil Kelahiran (Jika diminta oleh pihak syarikat)

Sijil-sijil Pendidikan (kebanyakan yang saya perhatikan, untuk temuduga kerajaan biasanya didahulukan sijil SPM, kemudian baru ijazah) :

  • Sijil PMR (jika diminta)
  • Sijil SPM
  • Sijil Tamat Sekolah
  • Transkrip Diploma (jika ada, saya tiada sebab saya asasi)
  • Transkrip Sarjana Muda / Sarjana
  • Pengiktirafan Kelayakan Ijazah Sarjana Muda

Sijil-sijil Kokurikulum yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon (sijil-sijil penyertaan / pencapaian tertinggi sahaja)



Kawan-kawan boleh tengok contoh susunan fail saya ya : 😉





Muka surat pertama fail, letak nama jawatan yang dimohon. Oh ya, saya guna fail murah ja, nipis plastiknya sebab tu nampak kurang cantik sikit. Saya cadangkan kawan-kawan beli fail yang mahal sikit je. Lebih berbaloi kot, lagi kemas dan tak mudah koyak plastiknya.





Bahagian maklumat temuduga ni, biasanya untuk temuduga kerajaan orang letakla. Kalau swasta, kadang-kadang makluman temuduga diberikan melalui "WhatsApp" sahaja. Jadi, kalau kes yang macamni, tak perlu letakla. 


Kalau nak letak masa dan tempat temuduga juga, letak ja sekali dengan jawatan yang dimohon kat muka surat paling depan tu. Lepastu, letak dokumen sebelah-sebelah dengan tajuknya nampak lagi kemas. 




Saya letak dokumen asli, bukan salinan.


Yang ni, kad pengenalan kan kecik je. Jadi, kalau takut kad pengenalan jatuh ke bawah dan nampak tak kemas, lekatkan bahagian belakang kad pengenalan tu dengan pelekat 'tack it'. Cuma, kebanyakan orang letak salinan kad pengenalan ja dekat sini, yang lain-lain semua dokumen asli. Cuma saya pernah nampak orang buat macamni, saya buat macamni. 



Pelekat tu macam mana? Tengok gambar di bawah. 👇 Saya beli harganya dalam RM 3.60 sahaja. Yang ni berbaloi beli, sebab boleh guna untuk benda-benda lain lagi.




Kemudian, 








Yang ni bukan wajib letak pun, tapi kalau syarat kelayakannya disebut melibatkan Bahasa Melayu, letak sahaja. (saya letak sebab nak penuhkan fail ja dan nampak ada orang letak jugak). 



Lepas Sijil Ujian Lisan Bahasa Melayu ni, saya siap letak juga sijil Ujian Lisan Bahasa Arab dan Sijil Kelas Kemahiran Al-Quran (KKQ) zaman sekolah dulu sebab ada kaitan dengan KAFA juga kan. Tapi, kalau dah berani letak tu, kalau ditanya masa temuduga, kena bersedia lah ya. Letak sijil KKQ, bersedia untuk disuruh tarannum (saya disuruh masa temuduga KAFA tempoh hari).



Seterusnya ....








👆 Yang ni letak terus la transkrip akademik yang ada senarai subjek dan gred tu semua kat muksurat selepasnya.






Untuk pengiktirafan kelayakan ijazah sarjana muda ni, pengiktirafan tidak akan dikeluarkan untuk individu tapi dikeluarkan ikut nama kursus (course) kita. Kalau kursus dan pusat pengajian kita ada dalam senarai pengiktirafan, kita boleh terus cetak ja. Nak 'check' di mana? 



Boleh tekan pautan di bawah, masukkan maklumat negara, institusi dan nama kursus, tekan "cari" dan terus boleh dicetak 👇





Akhir sekali, bahagian sijil-sijil kokurikulum dan penglibatan luar :








Sijil-sijil ni saya letak bermula dengan sijil-sijil terbaru. Dengan sijil-sijil praktikal sekali saya letak. Maklumlah zaman universiti sijil kurang banyak. Penyertaan program kebanyakannya direkod pada 'transkrip aktiviti kokurikulum ja" sebab dapat merit kan. 



Oh ya, sijil-sijil menang pertandingan letakla ya kawan-kawan. Yang tu paling bagus untuk diletak. Sijil pencapaian lebih tinggi daripada penyertaan.



Sebelum saya akhiri hantaran kali ini, berkenaan salinan-salinan dokumen yang dah disahkan, nak kena buat macam mana? Susun je ikut susunan seperti susunan dalam fail, lepastu letak klip dan masuk sampul besar saiz A4 tu. Nanti selit je lah sampul tu bersama fail kita waktu temuduga. 


Selalunya yang dibelek waktu temuduga fail tu je la, salinannya diambil oleh pihak penemuduga. Cuma, kalau untuk temuduga KAFA, kita hanya diminta untuk bawa sijil asli je. Salinan kan kita dah bagi masa mula-mula nak mohon.



Sekian sahaja hantaran saya untuk kali ini. Jumpa lagi nanti ✌ Terima kasih sudi membaca.




💗 Baca juga hantaran berkaitan di sini :

"Hidden" Hantaran

  Assalamualaikum, rakan-rakan. Hari ini saya akan berkongsi tentang "hidden" hantaran. Masih ada yang tidak tahu, apa maksud ...