Pengikut

Selasa, 27 Februari 2024

Kuetiau Goreng Untuk Mentua

Assalamualaikum semuanya. Kembali lagi kita dalam rancangan "Masakan mudah apa hari ini?" Hahaha. Seperti yang ditulis pada tajuk : Kuetiau goreng. 

Percaya atau tidak, walaupun selalu dieja dengan "kuey teow" , tetapi ejaan betul dalam Bahasa Melayu adalah kuetiau. Eleh, tak percaya la tu. Tengoklah hasil tangkap layar saya di laman web Kamus Dewan Bahasa di bawah :


Tak tahulah kalau nanti beberapa dekad lagi, ejaannya akan berubah kan sebab Bahasa Melayu lama pun ejaannya banyak yang berbeza berbanding ejaan perkataan Melayu kini. 

Dah jadi hantaran berkaitan Bahasa Melayu pula ke ni? 😂 Tak adalah. Selingan saja. Jadi, semalam suami cadangkan goreng kuetiau untuk sarapan saya dan bekalnya. Alang², nak lah hantar juga untuk mentua. Kami pun selalu dapat makanan dari mentua. Okay kita tengok cara saya goreng kuetiau :

Bahan-bahannya :


Kuetiau 500 gram

Minyak masak 5 sudu besar

Minyak bijan 1 sudu besar

Kicap manis 3 sudu besar

Bawang putih 6 ulas

Bawang merah 3 ulas

Cili kering yang diblend 1 sudu setengah

Isi ayam/udang/kerang 

Telur 2 biji

Sos tiram 3 sudu

Sos cili 3 sudu

Kicap sotong 1 sudu kecil

Daun/sayur pilihan 


Cara menyediakan :


Perhatian : Tips supaya kuetiau yang digoreng tak mudah hancur dan tak terlalu lembik, kena gaul dulu di luar kuali.

Oh, dan sebelum masuk kepada resepi, masakan saya kali ini cukup untuk 5 orang makan. Kuetiau halus yang saya guna ni sebenarnya 950 gram. Kalau guna semua satu pack, risau tak habis. Jadi saya agak-agak, guna lebih daripada setengah pack. Anggaran dalam 500 gram untuk 5 orang makan. Selalunya orang masak kuetiau pack kecik 450 gram tu untuk 4 orang makan. Berikut gambar pack kuetiau yang saya guna :


1. Bilas kuetiau dengan air, jangan beria sangat ramas, nanti hancur tak sempat masuk kuali. Belai je lembut-lembut masa bilas tu.

2. Sejatkan air pada kuetiau, letak kuetiau dalam bekas yang sesuai. Letak minyak bijan & kicap manis hitam dalam bekas berisi kuetiau tadi dan gaulkan dengan berhati-hati supaya minyak bijan dan kicap tadi sekata & rata pada kuetiau.

3. Kisar bawang merah & bawang putih. Saya suka guna blender kering. Nak blend basah pun boleh, nak mayangkan aje bawang tu pun boleh. Kemudian, letak minyak dalam kuali dan masukkan bawang-bawang yang telah dikisar tadi. Tumislah bawang tu dengan api perlahan sehingga nampak garing (bukan hangit ya).

4. Seterusnya, bubuh cili kering yang telah dikisar. Saya guna blender basah. Cili kering, saya guna yang 'kurus²', baru lah pedas. Kalau tak nak pedas, pakailah cili kering yang gemuk dan besar saiznya. Tumislah cili kering tu pula sampai nampak garing juga.

* Cara sediakan cili kering kisar : Ambil cili kering dalam jumlah yang banyak terus. Dalam 30-40 biji ke, kemudian gunting buang kepala cili tu, dan gunting la cili tu kepada 2 atau 3 bahagian supaya senang diblend nanti. Lepas gunting, bilas dengan air, rebus dalam periuk sampai menggelegak. Kalau saya, saya sejatkan dulu cili yang direbus tadi kemudian masukkan dalam blender basah, letak je air masak/air coway, kemudian, kisarlah sampai lumat. Letak dalam bekas, simpan dalam peti. Ada orang guna minyak untuk kisar cili ni, tapi saya tak suka. Air je cukup. Bila dah kisar banyak² & simpan, nanti nak guna, senang.

5. Kemudian, letak air sikit supaya tak mudah hangit. Bubuhlah isi ayam. Saya guna ayam cincang je yang selalu guna untuk spaghetti tu. Alang² tinggal sikit lagi, habiskan je lah. Ha kacau-kacau. Lepastu masukkanlah telur dua biji, tunggu kejap dan kacau telur tu. Barulah dia tak terlalu hancur tapi janganlah letak telur, lepastu tinggal sampai jadi telur mata. Kacaulah bagi dia jadi macam scramble egg gitu. Kalau letak isi udang, lebih sedap dan manis tapi kami tak ada udang. Kalau ada fishcake, letaklah fishcake sekali. Memang sedap. Saya masak letak aje apa yang ada dalam peti tu.

6. Lepas tu, bubuhlah sos tiram dan sos cili. Kicap, saya dah tak letak sebab tadi dah gaul kicap manis pada kuetiau. Kacau-kacau sampai rata dan air agak kering.

7. Bolehlah letakkan kuetiau yang telah dibasuh dan digaul tadi ke dalam kuali. Gaullah sehingga sebati dengan semua bahan tumisan dan lauk tadi.

8. Bubuhlah daun/sayur pilihan. Saya cuma ada kangkung je yang sesuai untuk diletak. Kangkung saya ambil daunnya saja.

Selalunya, orang akan letak daun bawang dan tauge juga. Tapi saya tak ada daun bawang & tauge. Tauge tu suami saya memang tak gemar 😂 Jadi kami tak beli.

9. Kacau-kacau sampai rata, kemudian rasalah dulu sebelum tutup api. Kalau dah tiada yang perlu dibaiki, dah siap..! Boleh tutup api dan hidangkan.

Perasan tak, dalam masakan saya kali ini, saya tidak menggunakan gula, garam bahkan serbuk perasa? Tak perlu sebab sos tiram, sos cili & kicap manis dah berikan rasa yang cukup. Kalau masih rasa kurang di lidah kalian, tambah sajalah gula/garam/perasa tu ya. Citarasa masing². 

Inilah dia rupa kuetiau yang tak seberapa tu :


Abaikan nugget tu 🤭 Bekas besar tu untuk dihantar kepada mentua. Yang bekas kecil sedikit tu dan nugget untuk bekal suami. Ya, se"simple" itu saja. 




Isnin, 26 Februari 2024

Tomyam & Ayam Celup Tepung

Assalamualaikum sahabat-sahabat sekalian. Hari ini saya nak berkongsi menu bekal ringkas yang saya masak untuk suami. Guna bekas sedia ada aje.


Maaflah gambarnya macam apa dah tu. Kito nyo tak pandai ambil gambar 😂 Pulaktu, tak ada gambar dekat tomyam dengan ayam tu. 

Untuk ayam goreng celup tepung tu, memang serius rasanya macam ayam Mcd. Ramai juga yang sependapat dengan saya walaupun suami saya sendiri lebih suka Tepung Bestari. Okay mari saya kongsikan tepung apa saya guna. Sahabat-sahabat semua boleh beli tepung Bon Chef ni tau. Sebelum ini saya ada cari-cari juga di supermarket dan di mini market yang biasa saya pergi, tak jumpa juga tapi semasa sedang khusyuk scroll aplikasi Tiktok, ternampak orang kongsi video, katanya beli tepung ni di kedai Eco. Ya, hanya dengan harga RM2.40 untuk 200 gram tepung tu. Sebelumni ada juga saya cari di Shopee dan TikTok tapi tak berbaloi sebab kos penghantaran dan harga pun lebih mahal sedikit berbanding beli di Eco. 

Lepastu apa lagi, tengok-tengokla di Eco, ma sha Allah memang rezeki sungguh, ada di Eco. Mula-mula tak berharap sebab fikir mesti dah habis sebab viral rupanya rezeki banyak pack lagi ada masatu. Mungkin la baru restock. Fuh, syukur. Ni dah nak habis stock sebab beli dua pack je haritu. Nanti pergi Eco lagi, haraplah masih ada tepungnya. Ni rupa tepungnya :

Kredit : Shopee Malaysia


Kemudian, kita pergi kepada tomyam. Tomyam ni memang sangat mudah dibuat tapi semestinya saya guna pes tomyam haha. Tak kuasa nak buat sendiri pes tomyamnya. Ini saya kongsikan :


Resepi tomyam untuk dua orang makan (cara saya)


Bahan-bahannya :


Air 1½ cawan

Bawang putih 5 ulas

Bawang holland ½ biji

Lengkuas ukuran ½ ibu jari

Cili padi 4 biji

Serai yang dititik 1 batang

Daun limau purut 4 helai

Pes tomyam 1 setengah sudu besar

Garam 2 sudu kecil

Gula 2 sudu kecil

Susu fullcream/susu cair ½ cawan

Sayur tambahan (pilihan) secukupnya

Tomato 1 biji

Perahan asam limau nipis ½ biji


Cara menyediakan :


1. Isi air dalam periuk, buka api. Bahan yang saya senaraikan tu saya masak untuk dua orang. Tu pun agak2 je semua bahannya tu tau.

2. Tanpa perlu tunggu air mendidih, boleh terus masukkan bawang putih dan lengkuas yang dilenyek dengan pisau besar/alu lesung. Nak potong nipis-nipis pun boleh je. Bawang besar pula tak payahlah beria sampai nak cincang. Potong je lah saiz sederhana macam bentuk segitiga. Korang faham ke eh macam mana? Takpelah kalau tak faham, potong 'freestyle' je haha. Bawang tu agak banyak sebenarnya sebab kami suka bawang dalam kuah.

Lepastu masukkan cili padi yang dah dipotong menyerong, serai yang dititik. Dititik tu sama je lah dengan dihenyak dengan pisau besar/alu lesung tadi tu. Janganla sampai hancur nyah. Pukul sikit je pun bagi batang serai tu retak. Ha lepastu letaklah dalam periuk tadi tu. Seterusnya, letakkan juga daun limau purut. Daun limau purut tu petuanya koyakkan, jangan masukkan daun tu sekali dengan urat daun yang tengah tu sebab takut kuah rasa pahit nanti.

Dan untuk pengetahuan korang, semua bahan di atas tu masukkan sekaligus aje. Tak payahlah step by step disiplin sangat. Masuk je sekaligus, bawang-bawang, cili, lengkuas, serai & daun limau purut.

3. Tunggu mendidih sikit, bubuhla pes tomyam. Saya letak 1½ sudu besar ya. Kacau-kacau.

4. Kemudian, letakkan garam dan gula. Orang Thai tak silap diorang letak gula kabung (warna kuning dan lembut tu). Korang kalau nak letak gula melaka pun boleh. Tapi saya tak ada, jadi letak gula je lah.

Inilah dia rupa gula kabung Thailand. 

Kredit : Lazada

Kalau nak tambah serbuk perasa/ajinomoto pun okay je. Saya tak letak, sebab tak beli tambah lagi. Guna jarang-jarang je. Jimat haha. 

5. Seterusnya, boleh masukkan sayur yang kita nak, saya letak lobak merah je. Tu saja sayur sesuai yang tinggal dalam peti tadi. Boleh letak macam-macam sayur lain juga, contohnya : cendawan, bunga lobak dan anak jagung.

6. Kemudian, boleh tuang susu cair. Saya kehabisan susu cair, jadi saya letak je susu fullcream tu. Sedap aje jugak. Susu ni untuk bagi dia rasa lemak. Fuh, memang sedap. Rasa macam tomyam di kedai Thai. Bolehla buat ghaso-ghaso hihi. Agak² aje banyak mana. 

7. Selepas itu, saya letak juga tomato yang dipotong macam epal. Lepas tu, perah setengah limau nipis. Baru masam dia umphh! Saya ni bukan penggemar masam, tapi kalau tomyam tak ada masam, kurang sedap pula rasanya. Kacaulah sampai rasa kuah dah cukup cantik. Tak nampak cair sangat, warna kuah oren susu macam dalam gambar yang saya share.

Sebelum tutup api tu, jangan lah lupa rasa dulu, dah cukup ke masin, manis, masam dan pedasnya. Kalau belum cukup rasa atau terlebih rasa, 'adjust' la dulu. Jangan main letak je mentang-mentang orang dah 'share' berapa sudu, sebab citarasa kita tak sama, bahkan tu pun saya main agak je. Campak² , kemudian rasa, ikut lidah sendiri.

Dan.... Siap! 

Sabtu, 24 Februari 2024

Kembali Seketika

 

Assalamualaikum. Sekian lama meninggalkan blog ini, tetapi kerana rindu, saya kembali.




Alhamdulillah, hari ini hampir dua bulan sudah saya bergelar seorang isteri. Sebelum akad, saya sibuk mencari-cari resepi masakan untuk dijadikan panduan memasak selepas berkahwin. Ya lah, bila tiba masanya terasa tak ada idea menu seharian, bolehlah carian saya tu membantu. Berikut saya kongsikan :


ANEKA MENU NASI & NASI GORENG


*NASI*


1. Nasi ayam

2. Nasi lemak

3. Nasi khoumok

4. Nasi minyak

5. Nasi kukus

6. Nasi tomato

7. Nasi kuning

8. Nasi kerabu

9. Nasi briani

10. Nasi arab

11. Nasi ayam hainan



*NASI GORENG*


1. Nasi goreng kampung

2. Nasi goreng ayam

3. Nasi goreng cina

4. Nasi goreng USA

5. Nasi goreng pataya

6. Nasi goreng tomyam

7. Nasi goreng cili padi 

8. Nasi goreng kunyit

9. Nasi goreng biasa

10. Nasi goreng ayam kfc

11. Nasi goreng cili kering

12. Nasi goreng seafood


Dalam banyaknya senarai masakan di atas, yang pernah saya masak untuk suami, hanyalah nasi ayam, nasi lemak, nasi minyak, nasi goreng biasa, nasi goreng tomyam, nasi goreng cili padi, nasi goreng cili kering & nasi goreng pataya.

Menu yang paling tak terlintas untuk disediakan ialah nasi kerabu. Memanglah nasinya ringkas saja lebih² lagi kalau dah ada bunga telang tapi yang menyakitkan kepala adalah bahan² campurannya : sambal kelapa & ikan, sambal cili belum termasuk ulam²nya lagi tetapi saya bernasib baiklah sebab suami dan saya sendiri pun memang tidak terlalu gemar menu nasi kerabu. 

Saya sangat kagum pada ummi saya yang memang rajin menyediakan nasi kerabu. Rajin betul dia sediakan bahan. Saya memang malas lebih² lagi nak menggoreng kelapa, api perlu diperlahankan, kalau menunggu, lama. Kalau tidak ditunggu, hangit pula sebab lupa 😂 Ya lah, itu memang menu kegemaran ummi & nenek saya. Saya sendiri kalau ada lauk lain seperti ayam bakar/ikan celup tepung, baru betul² ngam makan nasi kerabu 🤭 Banyak songeh.




"Hidden" Hantaran

  Assalamualaikum, rakan-rakan. Hari ini saya akan berkongsi tentang "hidden" hantaran. Masih ada yang tidak tahu, apa maksud ...